FGV kembali gah jika diuruskan dengan betul - Utusan Malaysia

FGV kembali gah jika diuruskan dengan betul

Nasaruddin Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FGV kembali gah jika diuruskan dengan betul

JOHOR BAHRU:  FGV Holdings Bhd (FGV) dan beberapa kepentingan melibatkan peneroka Felda diyakini kembali pada landasan sebenar sebagai agensi perladangan yang gah seperti sebelum ini jika berada di bawah pengurusan baik dan betul.

Pengerusi Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Johor Bahru, Nasaruddin Ahmad berkata, malah pihaknya percaya nasib peneroka akan bertambah baik dengan beberapa pelan strategik yang sedang giat dirancang pengurusan Felda dan kerajaan pada masa kini. 

Beliau menegaskan, pihaknya tidak mahu ada lagi orang luar yang cuba mahu mengambil peluang memiliki kepentingan di FGV yang sememang asalnya dulu adalah lombong emas Felda.

“Justeru itu walau apa cara sekalipun sekarang para peneroka sangat mengharapkan peranan kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin untuk mengembalikan semula lombong emas ini ke pangkuan Felda semula.

“Kami sangat yakin dan percaya jika FGV dan beberapa kepentingan lain diuruskan semula Felda dengan pengurusan yang baik dan betul, ia kembali gah di landasan tepat dan betul sebagai sebuah agensi perladangan paling berjaya seperti pernah kita capai sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kenyataan itu mengulas usaha Felda yang dilaporkan mahu mengambil alih semula tanah dipajak kepada FGV sebagai sebahagian pelan transformasi untuk akan dilaksanakan sebagai sebahagian model perniagaan baharu mereka.

Menurut Nasaruddin lagi, pihaknya menyokong penuh cadangan pembaharuan dalam Felda seperti digagaskan pengurusan tertinggi yang baharu termasuk usaha pengambilalihan pemilikan FGV dan ia dihasratkan oleh majoriti peneroka sejak dahulu lagi.

Beliau menambah, semua peneroka telah mengharapkan semuanya menjadi lebih baik dengan tindakan penyenaraian FGV, namun hasilnya ternyata mengecewakan iaitu pulangan FGV kepada Felda.

“Kalau dahulunya pendapatan Felda menerusi Felda Holdings mencecah RM1.2 hingga RM1.4 bilion setahun, tetapi selepas penyenaraian ianya sangat mengecewakan dan tidaklah seperti diharap dan dijangkakan.

“Warga Felda banyak kali juga menyuarakan kerisauan ini khususnya mengenai masa depan mereka apabila sehingga kini, warga Felda tidak banyak menerima manfaat sejak ladang-ladang Felda dipajak oleh FGV,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya