CEUPACS mahu proses siasatan semula kematian Muhammad Adib diselesai segera - Utusan Malaysia

CEUPACS mahu proses siasatan semula kematian Muhammad Adib diselesai segera

ADNAN Mat (dua, dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Hamzah Ali sebagai tanda penghargaan kepada anggota bomba yang menjadi 'frontliner' pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke-22 Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu pihak berkuasa menyelesaikan segera proses siasatan semula berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim bagi memastikan keadilan sebenar dapat ditegakkan. 

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini membabitkan kes siasatan Muhammad Adib dan sentiasa juga memberi sokongan kepada pihak berkuasa dalam meneruskan siasatan. 

“Lihatlah kembali rakan kami yang meninggal dunia iaitu Muhammad Adib yang belum lagi mendapat keadilan sepenuhnya walaupun inkeus kes telah selesai dijalankan. 

“Keputusan (mahkamah) telah pun dikeluarkan dan menyatakan berlaku tindak balas atau perkara yang menyebabkan dia (Muhammad Adib) dibunuh. Bukan tanpa sengaja atau kemalangan sebaliknya disengajakan oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke-22 Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Adnan lagi, pada masa yang sama, CUEPACS berharap isu tersebut tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak sahaja. 

“CUEPACS menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Muhammad Adib akan terus dituntut. 

“Keadilan ini amat penting bagi memastikan kes seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang terutamanya melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata, CEUPACS merayu kepada kerajaan supaya memberi keadilan kepada Muhammad Adib secepat mungkin memandangkan prosiding kes yang telah dijalankan selama ini telah mendapat jawapan.

Muhammad Adib, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018.

Dia sebelum itu mengalami kecederaan parah ketika bertugas dalam rusuhan dan kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 November 2018.

Susulan itu, Peguam Negara mengarahkan majistret melakukan inkues bagi menentukan sebab kematian mangsa pada 27 Disember 2018.

Sepanjang prosiding inkues, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya