KUALA LUMPUR: Penipuan membabitkan sindiket Macau Scam tidak berakhir walaupun Goh Leong Yeong atau Alvin sudah ditahan di Genting Higlands, Pahang Selasa lalu.
Ini kerana sindiket Macau Scam berpusat di China itu mempunyai ramai lagi ketua malah jaringan jenayahnya besar. Reka bentuk rangkaian Macau Scam dibina bagi menyukarkan pihak berkuasa melumpuhkannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, Alvin, 32, yang ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bagi membantu siasatan hanya salah seorang daripada beberapa ketua sindiket yang ada di negara ini.
“Selain itu, Macau Scam yang beroperasi di Malaysia biasanya memilih warga China untuk ditipu manakala mangsa penipuan negara ini pula dipercayai membabitkan sindiket yang beroperasi di Kemboja, Filipina, Vietnam dan Thailand,” dedah sumber berkenaan.
Kata sumber, dalang Macau Scam di China akan melantik ketua sindiket dalam kalangan orang tempatan manakala ahli-ahlinya membabitkan warga asing bergantung kepada sasaran kumpulan berkenaan untuk menipu mangsa dari negara mana.
” Ini taktik menyelamatkan ahli-ahli sindiket yang melibatkan warga asing didakwa dengan hukuman berat. Apabila kumpulan ini diserbu, mereka yang membabitkan warga asing mungkin sekadar didakwa atas akta imigresen kerana penipuan membabitkan rakyat luar negara menyukarkan proses mengumpul bukti,” kata sumber.
Selain itu katanya, operasi jenayah tersebut juga sukar dihapuskan serentak, kerana dalang mengupah lebih daripada 10 kumpulan sindiket yang beroperasi di sesebuah negara.
“Contoh Alvin yang sudah ditahan dan sedang tidur lokap tetapi masih ada sindiket lain lagi di negara ini yang tidak tergugat malah terus membuat panggilan mencari mangsa untuk ditipu.
“Siasatan juga sukar kerana setiap ketua sindiket di negara ini saling tidak mengenali,” dedahnya.
Pada November lalu, imigresen menahan 680 warga China dalam satu serbuan di Cyberjaya kerana mereka disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian.
Sebelum ditahan warga China berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai sudah beroperasi selama enam bulan. Mangsa penipuan kumpulan tersebut dikatakan warga China yang berada di republik itu.
Sementara itu, mengikut Bukit Aman sebanyak 2,626 kes Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM165 juta direkodkan sehingga Oktober ini .
Dalam tempoh sama,sebanyak 4,865 kertas siasatan dibuka dengan jumlah tangkapan 2,471 orang. Daripada tangkapan itu, seramai 1,747 sudah dituduh di mahkamah.
Kes terbaharu di Pulau Pinang, Sabtu lalu membabitkan seorang pegawai perubatan berusia 27 tahun yang kerugian RM20,168 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – UTUSAN










