KUALA LUMPUR : Suspek judi dalam talian, Goh Leong Yeong atau Alvin yang diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah resort, Genting Hinglands, Bentong, Pahang kelmarin dipercayai merancang untuk pergi ke sebuah lokasi lain.
Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 32 bersama seorang wanita dipercayai kekasihnya dapat dihidu pihak berkuasa.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek tersebut bukannya menyerah diri sebaliknya giat menutup jejaknya bagi mengelak daripada diberkas.
Dedah sumber itu, suspek yang berada di lokasi bagaimanapun terkejut apabila tempat persembunyian tersebut diserbu.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih berjalan dan proses untuk tindakan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dikenakan terhadap Alvin sedang diusahakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci tanpa ada ‘double standard’ terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya serta individu yang disiasat.
Malah, katanya, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan mereka yang terlibat akan diambil tindakan tegas.
Laporan Utusan Malaysia semalam mendedahkan Alvin yang didakwa ketua Macau Scam dan judi dalam talian di Malaysia `tewas’ selepas berpindah-randah di ‘tiga negeri’ selama 15 hari sebelum diberkas pukul 1 pagi.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, awalnya Alvin dikesan menyembunyikan diri di ibu negara sebelum melarikan diri ke sebuah negeri di Utara sebaik meloloskan diri dari kawasan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 11 Oktober lalu.
Tidak lama selepas itu, Alvin disyaki kembali semula ke ibu negara dan tinggal di sebuah lokasi di Ulu Klang di sini sebelum bertindak menyewa dua bilik di sebuah resort mewah di Genting Highlands.
Susulan penahanan itu, Alvin direman selama tiga hari bermula kelmarin dan wanita warga China yang ditahan bersama suspek dibebaskan selepas keterangannya diambil. – UTUSAN










