Aktiviti di masjid dan surau di P.Pinang boleh diteruskan - Utusan Malaysia

Aktiviti di masjid dan surau di P.Pinang boleh diteruskan

Wan Salim Wan Mohd. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri ini termasuk di kawasan Permatang Janggus, Penaga masih boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk memastikan penyebaran pandemik tersebut dapat dibendung.

Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan negeri tiada keperluan setakat ini untuk menutup masjid dan surau di kawasan Permatang Janggus serta di negeri ini memandangkan keadaan dapat dikawal di masjid.

“Berbeza dengan keperluan menutup sekolah di mana aktiviti murid-murid sukar untuk dikawal. 

“Pandangan peribadi saya adalah masjid dan surau masih belum sampai ke tahap yang mendesak untuk ditutup pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus di Kepala Batas diarah tutup selama lapan hari bermula Jumaat lalu selepas terdapat seorang guru wanita disahkan positif Covid-19.

Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian Covid-19 dan diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan.

Sementara itu, Wan Salim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berkata, jika keadaan didapati semakin mendesak dengan peningkatan kes-kes jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut, maka pihak berkuasa agama di negeri ini akan membuat keputusan sesuai bagi mencegah wabak  daripada terus merebak.

Tambahnya, apa jua keputusan yang akan dibuat perlu mempertimbangkan keperluan mengimbangi antara kepentingan pembangunan rohani masyarakat dengan keperluan memelihara keselamatan dan kesihatan mereka. 

“Secara umumnya pandemik Covid-19 di negeri ini masih terkawal, jadi SOP yang sedia ada seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa akan terus diikuti buat masa terdekat ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya