62 projek terbengkalai PR1MA diteruskan - Utusan Malaysia

62 projek terbengkalai PR1MA diteruskan

ZURAIDA Kamaruddin (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Muhammad Jailani Khamis (dua dari kiri) pada majlis perasmian pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Melaka di Taman Klebang Utama, Klebang. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan memberi jaminan akan meneruskan pembinaan 62 buah projek Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dilaporkan terbengkalai di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah berkenaan dilakukan memandangkan projek-projek itu telah mencapai tahap 15 peratus pembinaan ketika ini.

Menurut beliau, sebanyak 32 projek PR1MA yang masih di peringkat awal atau baru dimulakan pula akan dihentikan.

“PR1MA telah bekerjasama dengan kontraktor dan rakan kongsi untuk menyelesaikan rundingan penamatan. Pampasan akan dibuat berdasarkan kerja-kerja yang telah dijalankan untuk pembangunan berkenaan dan disahkan oleh perunding luar.

“Kami yakin dapat mencapai perjanjian penamatan secara harmoni, bagi pembeli yang terjejas dengan penamatan projek, PR1MA akan mematuhi syarat dan ketentuan seperti yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Taman Klebang Utama, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi PKN negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Timbalan Pengerusi PKN negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee. 

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata, nilai pembayaran pampasan terhadap projek yang dibatalkan bergantung kepada nilai tanah bagi kawasan terlibat.

Bagi negeri Melaka, beliau berkata, sebanyak lapan projek akan ditamatkan sementara enam daripada 14 projek keseluruhan akan diteruskan.

Mengulas lanjut, ujar Zuraida, permohonan bagi projek Perumahan PRIMA masih dibuka kepada yang berminat meskipun tanpa projek-projek terbaharu.

“Permohonan PRIMA masih dibuka sehingga Mei 2021 dan saya boleh katakan permintaannya sangat baik sepanjang tempoh Covid-19 ini. 

“Kebanyakan permohonan yang diterima dan diluluskan ialah membabitkan golongan muda, menerusi Home Ownership Campaign (HOC),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya