UCJAS banteras habis-habisan sindiket jenayah alam sekitar - Utusan Malaysia

UCJAS banteras habis-habisan sindiket jenayah alam sekitar

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) akan ditubuhkan Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama strategik Kementerian Dalam Negeri bagi menangani sindiket jenayah terancang berkaitan alam sekitar di negara ini.

Pasukan khas itu akan melibatkan kekuatan anggota daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan (JBK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangka beroperasi awal bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan supaya unit itu dapat diperkukuhkan kerana melibatkan pertambahan perjawatan serta peruntukan kewangan tambahan.

“Jumlah keanggotaan bagi unit khas itu bergantung kepada keadaan kes alam sekitar yang berlaku kerana kita akan melihat kepada keperluan dari semasa ke semasa. Saya kira setiap jabatan yang menganggotai jawatan kuasa sekarang sudah mencukupi.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak terlibat dengan unit ini kerana PBT sudah mempunyai unit tersendiri dan beroperasi mengikut akta sedia ada. UCJAS adalah kumpulan elit yang ditubuhkan khas di bawah kementerian ini bagi membanteras jenayah alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas bersama Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.

Kementerian berkenaan memandang serius berhubung kejadian pencemaran yang semakin berleluasa dan isu itu perlu ditangani secara holistik dan proaktif.

Sebagai contoh berkaitan insiden terkini yang berlaku  di Sungai Gong, Selangor memberikan impak besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara sekali gus menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, bagi menangani masalah berkaitan pencemaran alam sekitar, JAS, SPAN dan JBK telah menguatkuasakan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Biokeselamatan 2007 bagi melaksanakan pelbagai operasi pemantauan terhadap punca-punca yang tertakluk di bawah akta masing-masing.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat beberapa isu dan kompleks dalam menjalankan operasi penguatkuasaan yang memerlukan satu proses perubahan struktur dan pendekatan secara bersepadu dilakukan segera.

“Agensi-agensi penguatkuasaan kementerian memerlukan sokongan daripada sumber logistik, kepakaran forensik dan risikan, kekuatan anggota penguatkuasaan serta pemantapan undang-undang dan bidang kuasa. Ini memerlukan tindakan bersama yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah alam sekitar.

“Dengan tertubuhnya unit ini, kita berharap usaha mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar secara terancang dapat dilakukan dengan lebih efektif,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, beliau memaklumkan, pihak kementerian turut bersetuju bagi membolehkan PDRM mengambil tindakan segera ke atas penjenayah alam sekitar.

“Ini termasuk penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang akan diberikan kepada PDRM. Setakat ini, perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada PDRM,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya