JERANTUT: Hukuman penjara dan denda terhadap mereka yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seolah-olah tidak cukup apabila masih ada yang terus melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Sehubungan itu, Pengerusi Alumni Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Datuk Nordin Wahid mencadangkan golongan penghina Yang di-Pertuan Agong dikenakan hukuman lebih berat dan ditarik balik taraf kewarganegaraan.
“Rakyat yang cintakan kemakmuran dan kedamaian berasa sangat tidak selesa dengan sikap biadab segelintir rakyat yang terus menghina Yang di-Pertuan Agong dan pimpinan negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang pengguna laman sosial Twitter, @DilahJohn yang dalam ciapannya menghina Yang di-Pertuan Agong yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.
@DilahJohn turut menghina Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR ) Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kes menghina Agong bagai tiada penghujung dan mencabar rakyat yang menjunjung lima prinsip Rukun Negara.
“Saya berpendapat sudah sampai masanya golongan penghina Agong dikenakan penjara, sebatan dan denda yang lebih tinggi,” katanya.
Srikandi Pertubuhan Kumpulan Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang, Yasmin Ali mahu sikap biadab terhadap kedaulatan institusi raja-raja di negara ini ditangani dengan tuntas.
“Rakyat mahu tindakan tegas diambil terhadap pelampau terbabit untuk dijadikan pengajaran kepada individu lain yang sewenang-wenangnya bersikap kurang ajar di laman media sosial,” tegasnya. – UTUSAN









