PRN Sabah: Bukit Aman hantar 420 pegawai, anggota sokongan - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Bukit Aman hantar 420 pegawai, anggota sokongan

hamid
ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 420 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditugaskan bagi membantu sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penugasan itu melibatkan warga polis pelbagai jabatan sebagai sokongan tambahan kepada anggota sedia ada di Sabah.

“Saya telah bercakap dengan Pesuruhjaya Polis Sabah yang kekuatan sedia ada di negeri itu memadai, cuma mereka minta sedikit staf sokongan. 

“Bagi menjaga keselamatan Sabah sempena PRN, memadai dengan kekuatan sedia ada, daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Marin memang ada di sana dan cukup untuk tampung keperluan yang besar. Hanya sikit kita bawa dari Semenanjung atau Sarawak untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) sebagai ‘Approved Training Organisation – Flight Training Organisation (ATO-FTO) dan Approved Training Organisation – Type Rating Training Organisation (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengerusi CAAM, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman di Auditorium PLPGU di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya bersedia menghadapi PRN Sabah yang dijadualkan pada 26 September ini di mana prosedur operasi standard (SOP) telah diberikan kepada unit-unit terlibat untuk dipatuhi.

“Persiapan mantap, kita sudah bersedia. Ada permintaan bantuan sumber manusia dari luar oleh polis Sabah dan kita penuhi permintaan itu. Semua yang terlibat telah ke sana khususnya pasukan siasatan jenayah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau menegaskan, polis tidak akan menyembunyikan sebarang fakta atau maklumat berkaitan siasatan kematian anggota tentera darat, Abdul Aziz Aznam, 20.

“Tiada apa yang saya mahu sembunyikan, tidak memberi apa-apa keuntungan kepada PDRM untuk sembunyikan fakta dalam apa juga kes.

“Kita sedang siasat perkara ini dan tidak mahu ada yang terlepas pandang. Kita mahu berikan keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya