JOHOR BAHRU : Kerajaan digesa memberikan moratorium terhadap Bayaran Kembali (BK) yang melibatkan 112,635 peneroka Felda di seluruh negara yang dilihat punca utama pemotongan gaji sehingga 90 peratus.
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO-NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, para peneroka kini terbeban dengan pembiayaan tersebut hingga mereka menerima pendapatan bersih sekitar RM50 hingga RM60 sebulan.
“Pemotongan untuk peneroka ada dua yang pertamanya iaitu BK. Ini mesti ditangguhkan hingga pendapatan berada pada tahap munasabah.
“Selain itu, terdapat pinjaman sosial seperti pembelian kredit di kedai Felda iaitu D’Mart dan hutang pembesaran rumah. Ini tanggungjawab peribadi peneroka, jadi kenalah bayar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan keluh-kesah para peneroka yang gaji mereka dipotong sehingga memperoleh bayaran bersih sebanyak RM50 sahaja.
Dalam pada itu, Mazlan juga menggesa kerajaan untuk menaikkan had tiada pemotongan bagi hasil kurang RM1,000 kepada RM2,000.
Beliau menjelaskan, jumlah RM1,000 itu merupakan satu jumlah yang diputuskan 15 tahun lalu dan sekali gus menuntut ia dikaji semula terhadap kadar ditetapkan berkenaan.
“Lagi pun sekarang kos sara hidup semakin meningkat apatah lagi peneroka berhadapan kesan Covid-19.
“Malah terdapat anak-anak mereka yang dibuang kerja kini terpaksa pulang ke kampung serta akhirnya ibu bapa terpaksa menanggung kehidupan mereka,” katanya.
Mazlan kemudian menyifatkan pemotongan itu sebagai tidak masuk akal kerana ia bukan sahaja menyebabkan peneroka terbeban, malah mereka bakal hidup merempat.
“Mana cukup pendapatan RM50 sebulan. Nak makan minum lagi, tidak termasuk lagi kos sara hidup lain.
“Pekerja sektor awam dan swasta pun dapat penangguhan pinjaman bank, apa salahnya peneroka Felda turut diberikan penangguhan BK, apatah lagi nasib mereka dijamin di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960,” katanya. – UTUSAN










