Polis nasihat orang ramai patuhi SOP sepanjang proses undi - Utusan Malaysia

Polis nasihat orang ramai patuhi SOP sepanjang proses undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga dalam apa jua bentuk keadaan bagi mengawal keselamatan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan pada hari mengundi kerana penugasan polis bagi memantau keadaan amat mencukupi.

Tegasnya, apa yang lebih penting adalah orang ramai tidak melupakan tentang penjagaan kesihatan masing-masing selain mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Seramai 7,488 anggota kita yang bertugas sentiasa bersedia memberi jaminan keselamatan sepanjang proses pengundian PRN berlangsung.

“Semua warga kerja PDRM di Sabah juga diingatkan untuk mematuhi SOP di dalam bidang kerja masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menegaskan, arahan telah dikeluarkan kepada semua petugas Op Benteng untuk melakukan tangkapan terhadap Pendatang Tanpa Izin (PATI) dengan mematuhi SOP yang disediakan tanpa gagal.

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan juga akan diperketatkan selain tindakan tegas terhadap individu yang sengaja membuat kacau atau tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kebersihan lokap-lokap mesti diutamakan. Bagi pasukan pemantau di bandar dan kampung, tindakan penguatkuasaan juga akan diperketatkan tanpa kompromi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN