KUALA LUMPUR: Pertandingan 11 penjuru termasuk melibatkan pertembungan sekutu di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan demokrasi ‘sihat’ diamalkan di negara ini.
Pensyarah kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani menyifatkan ia sebagai satu perebutan kuasa yang biasa ‘terjadi’ ketika pilihan raya.
Katanya, rakyat yang mengundi akan menentukan dan memberikan amanah kuasa tersebut kepada wakil dipilih.
“Rakyat perlu diberi pelbagai pilihan terbaik untuk memilih wakil dan suara mereka. Ia satu proses demokrasi yang sihat. Dalam sistem demokrasi kepelbagaian parti digalakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
PRN Sabah kali ini menyaksikan pertandingan paling sengit dan mencabar apabila seramai 447 calon daripada 16 parti merebut 73 kerusi DUN.
Ia turut menyaksikan pertembungan tertinggi iaitu 11 penjuru di DUN Bengkoka manakala 10 penjuru di DUN Inanam.
Tambah Mohd. Azizuddin, PRN Sabah boleh menjadi pengukur kepada gabungan dan kerjasama politik serta tahap sokongan.
“Cuma dari segi ‘cerminan’ Pilihan Raya Umum-15, PRN Sabah hanya memberi gambaran kecil kerana politik di sana agak berbeza dengan politik di Sarawak mahupun Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, pertembungan sehingga 11 penjuru merupakan sesuatu yang unik dan menarik dalam meraikan demokrasi demi membuktikan individu paling layak sebagai wakil rakyat.
“Kuasa yang ada pada pengundi merupakan magis tidak ternilai dalam pentas demokrasi. Namun sejauh mana pengundi percaya calon-calon yang bertanding tidak akan lompat parti akan dilihat dalam PRN Sabah nanti,” ujarnya. – UTUSAN










