MPT minta maaf, mahu terus bantu mangsa - Utusan Malaysia

MPT minta maaf, mahu terus bantu mangsa

JEZLILY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memandang serius dan kesal dengan kejadian seorang kanak-kanak terkena renjatan elektrik ketika bersiar-siar bersama ibunya di kawasan Esplanade Temerloh baru-baru ini.

Yang Dipertua MPT, Jezlily Jamaluddin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah bertemu dengan keluarga mangsa kelmarin dan memohon maaf berhubung kejadian malang berkenaan. 

“Kami mengakui apabila menaik taraf kawasan itu dan kerja baharu hendak dibuat mungkin langkah-langkah keselamatan kena perketatlah, mungkin kami terlepas pandang.

“Kalau boleh kita hendak bantu membantu. Sekiranya emak ayah mangsa hendak ambil tindakan kita tidak menghalang dan saya doakan anak dia tidak ada apa-apa sebab budak kecil kita takut ada risiko tinggi, tetapi kalau ada apa-apa minta berhubung semula untuk kita bantu apa yang patut,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan seorang kanak-kanak, Nur Imara Arisa Mazlan yang berusia tiga tahun terkena renjatan elektrik selepas memegang wayar elektrik yang terdedah ketika bersiar-siar di Esplande Temerloh.

Kejadian kira-kira pukul 7.05 petang pada 28 Ogos lalu menyebabkan tangan kanan kanak-kanak itu cedera dan mangsa ditahan di wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh selama sehari.

Menurut Jezlily, kawasan Espalanade Temerloh ditutup bermula 6 Ogos ‌hingga 28 Oktober bagi kerja-kerja menaik taraf kawasan itu dalam usaha memberikan keselesaan kepada orang ramai. 

Jelasnya, pada masa kejadian hanya notis di papan tanda larangan masuk ke kawasan berkenaan diletakkan tetapi tiada hadangan dibuat mengelakkan orang ramai masuk ke situ.

Kata beliau, dalam perjumpaan dengan kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut, mereka tidak mengemukakan sebarang tuntutan kepada MPT dan perjumpaan berjalan dalam suasana yang baik.

Ujarnya, MPT sentiasa terbuka dan bersedia membantu sekiranya mangsa memerlukan sebarang bantuan dari semasa ke semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya