ADAKAH pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau ‘memiliki majoriti kukuh, kerajaan Tan Sri Muhyiddin sudah jatuh’ dikatakan ada kaitan untuk memancing undi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini?
Dengan hanya berbaki kempen sehari sahaja lagi, pemerhati memberitahu Utusan Malaysia, kemungkinan andaian itu tidak dapat ditolak.
“Ia antara usaha terakhir untuk mengelirukan 1.12 juta pengundi Sabah dengan jaminan ‘Anwar bakal PM, sekali gus baik untuk Sabah’ dilakukan demi memastikan Warisan Plus yang turut disertai PKR, DAP dan Amanah boleh membentuk kerajaan baharu,” katanya semalam.
Berikutan tanda tanya kesahihan ‘peralihan kerajaan’ yang diungkapkan oleh Presiden PKR itu, mahu tidak mahu rakyat Malaysia terpaksa ‘memanggil balik ingatan mereka’ terhadap peristiwa 16 September 2008.
Sekitar 1 April tahun yang sama, Anwar ketika itu menguar-uarkan tarikh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pakatan Rakyat kekal yang dirancangkan pada 16 September.
Pakatan Rakyat, katanya, memerlukan sokongan 30 ahli Parlimen BN untuk mengambil alih kerajaan Pusat, selepas BN pada 8 Mac tahun berkenaan buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Anwar ketika itu bagaimanapun enggan memberi butir-butir lanjut mengenai jumlah ahli Parlimen BN terbabit ‘atas sebab-sebab keselamatan mereka’.
Katanya, sesetengah daripada mereka terpaksa terbang senyap-senyap ke negara jiran untuk mengadakan perbincangan (dengannya).
Oleh itu, kata Anwar, adalah berbahaya jika beliau mendedahkan sebarang nama sekarang.
Beliau juga mengakui telah menemui sesetengah daripada mereka di Sabah, ketika dalam perjalanan ke Filipina (waktu itu).
Menurut Anwar lagi, pengumuman mengenai ahli Parlimen BN menyertai Pakatan akan hanya didedahkan ketika Parlimen bersidang.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mengenainya perlu dibincangkan secara terperinci dengan barisan pemimpin Pakatan.
Ketika itu Anwar merupakan calon pilihan Pakatan untuk menjadi perdana menteri jika gabungan itu berkuasa.
Tapi rupa-rupanya apa yang diuar-uarkan oleh Anwar tidak pernah berlaku. – UTUSAN










