SESEKALI Presiden Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengusik Parti Cinta Sabah (PCS) dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah kelmarin: “Parti cinta? Apa lagi kamu mahu bercinta ini? Sudah ada bini, cukuplah.”
Tidak kurang juga nada daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin: “Berdasarkan sejarah, parti-parti lokal (tempatan) ini tak pernah menang”.
Cuma, pada pengamatan pemerhati, andai kata parti-parti lokal ini terutama PCS, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memperoleh tak kurang 15 hingga 20 kerusi, bagaimana?
Parti-parti ini akan menjadi `king maker’ pula kepada dua gabungan parti utama, Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Berdasarkan manifesto yang dicanangkan USNO diketuai ketua umumnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga bukan calang-calang.
USNO akan memperjuangkan jawatan seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak jika diberi mandat menerajui kerajaan negeri.
Rakyat Sabah yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama pula akan menerima hadiah perkahwinan RM1,000. Seramai 47 calon USNO bertanding kali ini.
USNO ditubuhkan pada 1961 oleh Tun Datu Mustapha, yang juga digelar Bapa Kemerdekaan Sabah. Biarpun, anak lelaki Datu Mustapha iaitu Amir Kahar mendesak kepimpinan USNO yang baharu memohon maaf kerana menggunakan nama serta legasi bapanya, Pandikar Amin tidak ambil peduli.
“Gambar Tun Datu Mustapha adalah hak awam yang turut terdapat dalam arkib,” kata Pandikar Amin, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat terhadap permintaan Amir Kahar yang bertanding calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi.
PCS pula diketuai presidennya, Datuk Seri Anifah Aman, meskipun tidak cukup masa untuk membentuk parti yang baru diambil alihnya 26 Julai lalu – beberapa hari sebelum DUN Sabah dibubarkan – nekad meletakkan calon-calonnya di kesemua 73 kerusi.
Jun lalu, Mohd. Shafie mendakwa Anifah mencuba tiga kali untuk memujuk ahli parlimen Warisan dari Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi berpaling tadah, tetapi dinafikan bekas Menteri Luar itu.
Anifah kehilangan kerusi parlimen Kimanis tahun lalu apabila Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu mengisytiharkan kerusi Kimanis yang dimenanginya pada PRU-14 terbatal.
Keputusan dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Januari tahun ini, pilihan raya kecil Kimanis dipertandingkan dengan Anifah menyokong Mohamad Alamin dari BN yang memenangi kerusi tersebut.
Manifesto yang dibawa PCS, lebih kurang senada dengan Warisan – memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.
Antara perjuangan PCS jika meraih mandat termasuklah akan mewujudkan satu kementerian baharu yang mengkhususkan kepada minyak dan gas bagi meningkatkan sumber ekonomi Sabah.
“Rakyat tertanya-tanya, Sabah ini kaya dengan sumber aslinya, tapi orangnya miskin,” kata Anifah kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, LDP diterajui Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat mendakwa, hanya memilih calon yang jujur dan berintegriti untuk membawa lambang parti itu dalam PRN ini.
LDP mempertaruhkan 46 calonnya untuk menjadi kuasa ketiga menghalang kemaraan GRS dan Warisan Plus.
Semasa berada dalam BN sebelum ini, LDP hanya bertanding di kawasan ramai pengundi Cina. Namun kali ini membuat keputusan meluaskan kawasannya sejajar konsep parti itu yang mewakili semua kaum.
Di Bongawan, LDP meletakkan Mohd. Azree Abd. Ghani, 29, anak jati kawasan itu. Bongawan, yang turut ditandingi Anifah adalah kawasan dengan majoriti pengundi bumiputera Islam selain ramai pengundi kalangan Kadazandusun Murut. – UTUSAN










