Kilang kayu curi air terawat - Utusan Malaysia

Kilang kayu curi air terawat

SALAH seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menunjukkan penyambungan paip secara haram ke sebuah kilang kayu di Batu Kikir dekat sini, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sebuah kilang kayu di Batu Kikir dekat sini diserbu penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) selepas dikesan mencuri air melalui penyambungan paip secara haram.

Serbuan termasuk terhadap rumah pekerja itu dijalankan pada pukul 10.30 pagi tadi bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, premis kilang berkenaan pernah diserbu kali pertama oleh pihak SPAN dan SAINS pada 18 Jun lalu atas kesalahan yang sama.

“Dalam serbuan kedua yang dilakukan pada hari ini pula, kami mendapati pemilik premis telah melakukan penyambungan tidak sah tanpa melalui sebarang meter air menggunakan paip ‘High Density Polyethylene’ (HDPE) bersaiz 25 milimeter.

“Ia bagi kegunaan harian para pekerja, mencuci tayar kenderaan, kegunaan di pejabat serta di kawasan kilang. Bekalan air yang diperoleh daripada sambungan tidak sah tersebut telah digunakan di 18 tempat penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Norzita, SAINS mendapati akaun premis tersebut telah dipotong sejak 3 Januari 2019 dan mempunyai tunggakan sebanyak RM5,742.94.

Akibat daripada perbuatan mencuri air bagi kedua-dua kes di premis tersebut, jelasnya, SAINS telah mengalami kerugian berjumlah RM38,292.

“Ujian klorin di lokasi turut mengesahkan bekalan air digunakan adalah air terawat milik SAINS.

“Pihak SPAN telah menyita semua paip dan punca sambungan yang dibuat serta mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya