fbpx

21 Januari 2021, 2:45 am

  TERKINI

JPN Melaka bimbang, calon SPM tidak datang sekolah

MOHD. Azam Ahmad menunjukkan data kehadiran pelajar ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Beruang, Melaka. -UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 1,100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri ini direkodkan tidak hadir ke sekolah, sekali gus mencetuskan kebimbangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berkaitan masa depan pelajar.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pihaknya telah pun menyediakan dan melaksanakan beberapa pelan tindakan bagi membantu calon-calon menduduki peperiksaan yang dijangka dijalankan pada awal Januari tahun depan. 

Katanya, bagaimanapun segala persiapan itu akan menjadi sia-sia sekiranya jumlah calon SPM yang hadir dan menjalani kurikulum sekolah kurang daripada 90 peratus. 

“Pada Ogos lalu, kita merekodkan kehadiran pelajar tingkatan lima hanya 85.94 peratus dan ini menunjukkan lebih 1,100 pelajar tidak hadir ke sekolah daripada jumlah keseluruhan seramai 11,559 calon di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi keberkesanan dan mengganggu pelan tindakan yang dirancang, malah JPN termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah bimbang pelajar-pelajar ini tidak dapat menduduki SPM dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Bukit Beruang di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, pihaknya meminta agar ibu bapa khususnya, memainkan peranan dalam memastikan anak-anak menghadirkan diri ke sekolah supaya tidak keciciran dalam pembelajaran. 

“Kita telah membuat soal selidik dan mendapati antara faktor besar penyumbang ketidak hadiran pelajar adalah disebabkan faktor rakan sebaya dan sikap pelajar itu sendiri yang mungkin telah berputus asa atau terlalu selesa selepas beberapa bulan tidak bersekolah ekoran pandemik Covid-19. 

“Selain itu, ada juga beberapa situasi di mana calon SPM berada di rumah dan tidak hadir ke sekolah atas alasan tidak cukup rehat selepas pulang lewat pada malam sebelumnya, di sinilah kita meminta ibu bapa menjadi lebih tegas dalam memastikan pendidikan anak terjaga,” katanya. 

Tambahnya lagi, mungkin segelintir ibu bapa masih terkesan dan bimbang dengan penularan Covid-19, namun JPN menegaskan sekolah adalah zon selamat di mana setakat ini tiada kes direkodkan. 

Ujarnya, pihak sekolah juga telah menyediakan ruang dan kemudahan dalam pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan, malah setiap kelas calon SPM juga telah diagihkan peruntukan sebanyak RM600 untuk memastikan kelancaran pembelajaran. 

Jelasnya, Ujian Diagnostik (UD) kedua akan diadakan pada 28 hingga 15 September ini dan pihaknya akan menjalankan pelan sokongan pembelajaran kepada kelompok yang memerlukan berdasarkan keputusan peperiksaan. 

Terdahulu, Mohd. Azam berkata, negeri ini menduduki tempat ke enam mengikut gred purata negeri keputusan SPM pada tahun lalu dan menyasarkan jumlah peratusan lulus meningkat agar pelajar dapat menyambung pendidikan di peringkat lebih tinggi. -UTUSAN

POPULAR