652 belukar, lalang dikhuatiri terbakar

652 belukar, lalang dikhuatiri terbakar

Belukar dan hutan antara kawasan yang berisiko terbakar ketika cuaca panas. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 652 kawasan termasuk belukar, lalang, hutan dan tempat-tempat pelupusan sampah di lapan negeri dikenal pasti sebagai lokasi panas berisiko berlaku kebakaran besar ketika cuaca panas 37 hingga 40 darjah Celsius dijangka sehingga Julai ini.

Lokasi-lokasi tersebut di Selangor, Pahang, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dan dikategori kepada empat jenis risiko kebakaran.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kategori pertama belukar dan lalang melibatkan 413 kawasan atau 63 peratus lokasi panas berisiko berlaku kebakaran.

Menurut beliau, kategori kedua kawasan berhutan sebanyak 142 lokasi atau 22 peratus.
“Kategori ketiga ladang dan kebun iaitu 50 kawasan mewakili lapan peratus. Kategori keempat tapak pelupusan sampah sebanyak 47 lokasi atau tujuh peratus,” kata beliau.

Menurut beliau, negara kini dalam fasa peralihan monsun yang lazimnya taburan hujan berkurangan dan kesan ini menyebabkan kejadian cuaca lebih panas dan kering berbanding keadaan biasa.

Kata beliau, antara lokasi berisiko terbakar melibatkan kawasan yang mempunyai keluasan dua hektar dan ke atas.

Menurut beliau, sebanyak 12,032 kes kebakaran direkodkan dari Januari hingga April lalu melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar, lalang dan sampah di seluruh negara.

Kata beliau, jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sam tahun lalu yang hanya 6,326 kes.

“Kes tertinggi melibatkan kebakaran belukar atau lalang iaitu 8,570 diikuti hutan (1,511 kes) ; sampah (1,394 kes) dan kebun atau ladang (557 kes),” jelasnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia dijangka terus berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Negeri-negeri yang kini dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×