fbpx

Dua anak nelayan lemas dapat pampasan RM38,556

OTHMAN Abdul Latiff (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM38,556.00 kepada Muhammad Danial Ikmal dan Nur Diyana Basirah pada Program Penyerahan Pampasan SKSPS Perkeso di Taman Nelayan, Tanjung Dawai, Merbok, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua anak kepada nelayan yang lemas di muara sungai di Jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok di sini baru-baru ini menerima wang pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM38,556. 

Mereka menerima pampasan itu di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Nelayan terbabit, Allahyarham Zulkifli Mohamad, 52, ditemui lemas pada 20  September lalu selepas bot yang dinaiki bersama abangnya,Jaafar, 57, dilanggar oleh sebuah bot lain di tempat kejadian dua hari sebelum itu. 

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Othman Abdul Latiff berkata, dua orang anak mangsa, Muhammad Danial Ikmal, 18, dan Nur Diyana Basirah, 15, akan menerima pampasan itu sebanyak RM567 setiap bulan sehingga umur mereka mencapai 21 tahun.

“Bapa mereka, Allahyarham Zulkifli telah mencarum skim itu bermula pada 15 Ogos 2020 sehingga 14 Ogos 2021 ketika menjadi nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyerahan Pampasan SKSPS di Taman Nelayan Tanjung Dawai di sini semalam.

Turut hadir Ketua SKSPS Perkeso, Azhar Md. Nazri, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Azrin Shah Ismail, Pengarah LKIM Kedah, Hamdan Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali.

Othman memberitahu, sehingga ini, seramai 42,000 daripada 98,000 nelayan dari seluruh negara telah menyertai skim caruman tersebut. 

Jelasnya, nelayan boleh menyertai skim itu dengan potongan elaun bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM157.20 setahun.

“Sehubungan itu, nelayan yang belum berbuat caruman itu, perlu melakukannya supaya anggota keluarga boleh mendapat manfaat yang sama jika berlaku pelbagai perkara tidak diingini ketika keluar ke laut nanti,” katanya lagi.

Pada program itu, Othman juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,500 melalui Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan kepada seorang balu, Mawar Suriyarni Rasli, 33, selepas suaminya, Mokta Hasim, 48, meninggal dunia pada 19 Mei lalu akibat ditimpa besi ketika menangkap ikan di laut. -UTUSAN