fbpx

21 Januari 2021, 4:10 am

  TERKINI

Dakwaan terbaharu aniaya politik, rosakkan reputasi saya! -Guan Eng

LIM Guan Eng keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang selepas dibicara atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan penyelewengan harta.-UTUSAN/ AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan dua dakwaan terbaharu terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini adalah untuk merosakkan reputasinya menjelang pilihan raya sama ada di Sabah atau di peringkat nasional. 

Sehubungan itu, katanya, dakwaan tersebut kini juga terbuka untuk spekulasi awam sama ada bagi merencatkan persiapan pilihan raya di Sabah, tindakan balas dendam politik atau cubaan mengalihkan perhatian daripada pelbagai kontroversi kerajaan ketika ini.

Katanya, beliau akan membuktikan dia tidak bersalah di mahkamah terutamanya apabila tiada wang ganjaran atau wang suapan dijumpai sama ada di dalam akaun bank peribadi atau dalam pemilikannya berbentuk tunai.

“Adalah mengecewakan pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan diri mereka dipergunakan untuk melakukan penganiayaan politik terhadap saya berdasarkan bukti yang tidak kukuh. 

“Sebaliknya, tiada tindakan yang sama diambil oleh SPRM terhadap pemimpin kerajaan sekarang yang mempunyai fakta kes yang tidak dapat disangkal atau bukti kukuh,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat DAP Bagan di sini semalam.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan dengan curang melupus dua tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang kepada dua buah syarikat sewaktu menjadi Ketua Menteri pada 2015 dan 2017.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, tuduhan ke atasnya yang berkait dengan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya juga seolah-olah berdasarkan kecenderungan terkini iaitu ‘semua salah Lim Guan Eng’.

Ini kerana, katanya, beliau bukan anggota Jawatankuasa Perolehan Negeri yang menganugerahkan projek tersebut secara tender terbuka kepada Konsortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG). 

Sementara itu, ditanya berkenaan sejauh mana perkembangan projek terowong yang mencetuskan kontroversi berkenaan, Guan Eng berkata, beliau bukan lagi anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk diajukan soalan tersebut. -UTUSAN

 

 

POPULAR