Bayi perempuan tujuh hari putus tangan digigit anjing peliharaan ahli keluarga - Utusan Malaysia

Bayi perempuan tujuh hari putus tangan digigit anjing peliharaan ahli keluarga

BAKA anjing Plott Hound adalah jenis anjing pemburu bau berasal dari Jerman. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan ahli keluarganya di Bachang di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 pagi 8 September lalu ketika bayi tersebut berada di bawah jagaan makciknya di Bachang.

Ketika kejadian katanya, wanita itu membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah dengan tujuan dikenakan cahaya mengurangkan masalah penyakit jaundis (demam kuning).

“Ketika itu, bayi sulung pasangan itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang dan ditemani suami yang sedang berehat di tingkat atas rumah.

“Selepas hendak memandikan bayi berkenaan, makciknya meletakkan bayi seperti biasa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat bagi menjemur bayi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nor Yhazid berkata, wanita itu kemudian telah meninggalkan bayi seketika bagi mengambil air panas untuk memandikannya.

“Ketika kembali semula ke arah bayi, dia terkejut apabila melihat tangan kanan bayi tersebut sedang digigit salah seekor anjing peliharaan milik suaminya.

“Dalam keadaan panik itu dia melihat anjing tersebut telah menggigit tangan kanan bayi di luar pagar diikuti tangisan kuat bayi yang berlumuran darah,” katanya.

Tambahnya, wanita itu kemudian menjerit sekuat hati mengejutkan ahli keluarga yang lain.

Ahli keluarga katanya, terus membawa bayi tersebut ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan namun ditolak dan diminta merujuknya ke Hospital Melaka.

“Sebaik sahaja tiba di Hospital Melaka, bayi terus dibawa ke zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan doktor pakar.

“Bayi tersebut kini sedang menjalani pembedahan kini bayi masih di dalam bilik pembedahan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd. Nor Yhazid berkata, siasatan lanjut mendapati anjing tersebut merupakan milik kepada suami makcik bayi berkenaan.

“Anjing tersebut dipercayai dari jenis ‘plott hound’ dan telah dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah tersebut bagi tujuan menjaga kawasan rumah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001/289 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berdasarkan carian di internet, Plott Hound adalah jenis anjing pemburu bau yang berasal dari Jerman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya