Bapa mohon doakan Nor Aqilah segera sembuh - Utusan Malaysia

Bapa mohon doakan Nor Aqilah segera sembuh

MANGSA TERHIDU GAS KARBON MONOKSIDA. Sharifah Fariesha Syed Fathi (duduk, kiri); Ayuni Shazwanie Shabri (berdiri, kiri); Nor Adilah Mohd. Safwan (duduk, kanan) dan Nor Aqilah Mohd. Safwan (berdiri, kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: “Tolong doakan agar Nor Aqilah segera sembuh kerana kami tak mahu kehilangan seorang lagi anak perempuan.”

Itu permintaan Mohd. Safwan Yaacob, 42, bapa kepada Nor Aqilah, 21, yang kini bertarung nyawa selepas terhidu gas karbon monoksida ketika berehat dalam kereta di Samagagah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Mohd. Safwan kehilangan anak sulung Nor Adilah, 21, kembar kepada Nor Aqilah yang kini dalam keadaan kritikal di Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun kematian Nor Adilah diterima dengan reda namun jauh di sudut hatinya dia tidak mahu kehilangan seorang lagi ahli keluarga dalam masa terdekat.

“Jika sudah takdir Nor Adilah pergi dulu, apa boleh buat kerana itu suratan.

“Tetapi seboleh-bolehnya biarlah kembarnya, Nor Aqilah yang dirawat sembuh dan boleh terus hidup bersama kami sekeluarga kerana dia merupakan satu-satunya anak perempuan kami sekarang,” katanya di sini hari ini. 

Jenazah Nor Adilah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di pekarangan Masjid Al-Aqraf, Jeneri di sini hari ini.

Nor Adilah disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Laut Lumut, Perak pukul 4.20 petang semalam. 

Selain Nor Adilah, rakannya yang turut maut dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu ialah Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21.

Ketika kejadian empat rakan tersebut dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani dekat sini selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×