AIU lantik Muhammad Yunus canselor sulung - Utusan Malaysia

AIU lantik Muhammad Yunus canselor sulung

MUHAMMAD YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) mengumumkan pelantikan canselor sulungnya, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006, Prof. Muhammad Yunus yang merupakan pengasas Grameen Bank.

Muhammad Yunus, 80, Canselor Glasgow Caledonian University di United Kingdom itu digelar Bapa Mikrokredit iaitu sebuah gerakan ekonomi yang membantu mengangkat berjuta-juta keluarga di seluruh dunia untuk keluar dari jurang kemiskinan.

Naib Canselor AIU, Prof. Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, pelantikan Pengerusi Yunus Centre itu berdasarkan sumbangan, pengetahuan, kepakaran dan pengalaman beliau membangunkan agenda peniagaan sosial yang diiktiraf oleh dunia melalui pelbagai bentuk anugerah diraihnya.

“Pengetahuan, kepakaran dan pengalaman beliau diiktiraf dunia apabila dilantik sebagai penasihat, pakar rujuk dan ahli jawatan kuasa kepada lebih 130 jawatan kuasa dan suruhanjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari 57 universiti dan 132 anugerah berprestij lain di peringkat dunia.

“Pelantikan beliau sebagai Canselor AIU adalah sejajar dengan penubuhan AIU untuk melahirkan graduan yang boleh menyesuaikan diri, seimbang dan holistik yang berupaya serta bersedia untuk membangunkan kemanusiaan, bertindak sebagai ejen perubahan di dalam masyarakat masing-masing melalui agenda peniagaan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Presiden AIU itu menambah, penerapan nilai perniagaan sosial khususnya Tujuh Prinsip Perniagaan Sosial yang diperkenalkan oleh Muhammad Yunus diterapkan melalui kurikulum pengajian, aktiviti bersifat akademik, bukan akademik dan aktiviti penyelidikan yang memberi nilai tambah kepada penuntut.

“AIU yang diasaskan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tidak berorientasikan keuntungan dan ditubuhkan dengan memberi fokus utama dalam menyediakan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi kepada calon pelajar cemerlang seluruh dunia daripada latar belakang keluarga yang susah dan tidak berkemampuan dari segi kewangan,” katanya.

Muhammad Yunus dilahirkan pada 28 Jun 1940 di Chittagong, Bangladesh merupakan Felow Fullbright untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat pada 1965 hingga 1966 sebelum diterima sebagai Felow Penyelidik dan Pengajar di Universiti Vanderbilt pada 1966 hingga 1969.

Pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) di dalam bidang Ekonomi dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu diterima sebagai Felow Eisenhour pada tahun 1984 dan terakhir sebagai Felow Kanan, The Institute of Mediterranean Studies.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan kerajaan Bangladesh termasuk Timbalan Ketua, Bahagian Pembangunan Ekonomi, Suruhanjaya Perancangan pada 1972; Ketua Projek dan Pengarah Urusan Grameen Bank bermula 1976 hingga 2011; Penasihat Menteri Kabinet pada 1996 serta Profesor Adjung, La Trobe Business School mulai 2015 hingga kini.

Pada 2006, Jawatan kuasa Nobel Norway menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kepada Profesor Muhammad Yunus dan Grameen Bank atas usaha mereka untuk mewujudkan pembangunan ekonomi dan sosial untuk masyarakat bawahan.

AIU kini mempunyai seramai 218 penutur dari 37 negara sejak beroperasi semula pada September 2018 dan dijangka meningkat kepada 800 orang menjelang Disember 2020.

Universiti itu menjangkakan pertambahan pelajar sehingga kapasiti maksimum kampus iaitu 3,000 pelajar untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah untuk tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya