Tiada permohonan daftar Pejuang - ROS - Utusan Malaysia

Tiada permohonan daftar Pejuang – ROS

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan tiada sebarang permohonan pendaftaran parti politik baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad setakat semalam.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berdasarkan semakan rekod berhubung perkara berkenaan.

“Sekiranya terdapat sebarang permohonan, ROS akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur yang ditetapkan selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang akan mendokong dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti di awal penubuhannya dahulu.

Pengumuman berkenaan dibuat pada satu sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu ialah anaknya yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Mei lalu, Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu mengumumkan nama parti baharu sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.