fbpx

24 September 2020, 5:30 pm

  TERKINI

Terbabas, masuk laluan bertentangan punca 7 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Nahas yang menyebabkan tujuh individu termasuk dua kanak-kanak maut di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mangsa yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.30 petang itu, kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga wanita, dua lelaki dan dua kanak-kanak maut di tempat kejadian.

Tiga lagi termasuk dua kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, 10 penumpang Perodua Alza berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kedah.

“Kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

“Akibat perlanggaran tersebut, kereta dinaiki mangsa terbalik menyebabkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan pihak bomba,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam ini.

Menurut A. Asmadi, kesemua mangsa yang maut dibawa ke HRPB untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

“Identiti kesemua mangsa yang berusia antara empat hingga 50 tahun belum dapat dipastikan namun waris mangsa telah dihubungi polis.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menyalurkannya kepada polis,” katanya.

Katanya, pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE