PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu akibat Covid-19 memberi inspirasi kepada dua syarikat tempatan mencipta robot berkeupayaan membantu petugas barisan hadapan.
Kedua-dua syarikat itu adalah DF Automation & Robotics Sdn. Bhd. (DF) dan Ethovent Sdn. Bhd. (Ethovent).
DF mencipta robot Mak Cik Kiah atau MCK19 yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk pesakit Covid-19.
Ethovent pula mencipta mesin robotik bantuan pernafasan separa pertama seumpamanya di negara ini – bersifat mudah alih, mudah dikendalikan serta mampu bertahan tujuh jam dalam bilik pembedahan.
Pengarah DF, Dr. Yeong Che Fai berkata, pihaknya mengambil masa seminggu untuk menyiapkan model robot MCK19.
Katanya, robot berkenaan ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) manakala satu lagi robot ciptaan DF, DOL-E ditempatkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Kelebihan Robot MCK19, jelasnya, ia mempunyai pengesan serta diprogram untuk menyediakan perkhidmatan berdasarkan permintaan.
Pihaknya turut membuat pemetaan terperinci dan tepat menerusi program robot berkenaan.
“Sehingga kini, syarikat kami yang berusia lapan tahun mempunyai kira-kira 10 robot yang menawarkan perkhidmatan di hospital dan untuk kegunaan perindustrian.
“Setakat ini, syarikat kami menjual robot-robot untuk perindustrian ke Mexico, India, Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau ditemui selepas program pelancaran National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya di sini.
Sementara itu, Pengasas Ethovent, Ganesh Muren berkata, tempoh PKP memberi ilham kepadanya dan juga tujuh rakan untuk membangunkan mesin robotik bantuan pernafasan yang meringankan beban tugas barisan hadapan.
Katanya, mesin robotik ini lebih ringan, praktikal, mudah digunakan dan lebih murah berbanding mesin bantuan pernafasan sedia ada di hospital.
“Harga mesin bantuan pernafasan yang praktikal seperti ini di Amerika Syarikat melebihi RM20,000 seunit manakala yang dibangunkan pihaknya hanya berharga RM8,500 seunit,” katanya. – UTUSAN










