fbpx

Pelitup muka: 124 individu dikompaun

  • Oleh Nuraina Hanis Binti Abd Halim
  • 2 Ogos 2020, 12:56 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 124 kompaun terhadap orang awam yang gagal memakai pelitup muka pada hari pertama penguatkuasaan peraturan itu dilaksanakan, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya turut menahan tiga individu di bawah kesalahan Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Akta Imigresen.

“Ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita ditahan di Sarawak dan Pahang. Ketika ditahan, mereka gagal menunjukkan kad pengenalan serta dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, sebanyak 312 individu dikompaun atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bermula semalam, pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak tumpuan umum seperti pasar tani, pasar raya, taman rekreasi serta tempat pelancongan.

Mereka yang dikesan gagal mematuhi arahan tersebut bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Arahan ini juga terpakai di semua stesen pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), perkhidmatan e-hailing dan bas.

Mior Faridalathrash berkata, kesemua individu tersebut sudah dimaklumkan mengenai kesalahan itu sebelum kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan mengikut perkara 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB)(No 7) 2020.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan tujuh individu yang gagal mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka, semalam.

Katanya, Polis Kontinjen Selangor sentiasa menjalankan operasi bagi memastikan orang awam mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Ini termasuk pemeriksaan penjarakan fizikal dan nama serta nombor telefon yang ditulis dalam buku nota di tempat awam serta premis,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Dikemaskini pada