KANGAR: Laluan memasuki Kampung Kuala Sanglang dan Tanah Timbul di sini mula ditutup semalam. Sehingga kini, proses saringan penduduk di dua kawasan terlibat penularan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang itu masih berterusan.
Tinjauan Utusan Malaysia di laluan yang boleh dimasuki melalui Kuala Sanglang, Kedah mendapati telah ditutup dengan penghadang jalan.
Lokasi penutupan tersebut terletak tidak jauh daripada sebuah jambatan kecil di sebelah Kedah yang menempatkan jeti nelayan Kuala Sanglang.
Penutupan jalan berkenaan adalah bagi menghalang penduduk keluar masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di dua kampung terbabit berkuat kuasa malam Sabtu lalu hingga 4 September ini.
Turut kelihatan, beberapa penduduk kampung dari sempadan Kedah menghulurkan bekalan makanan kepada saudara-mara mereka yang berada dalam kawasan larangan berkenaan di sebelah Perlis.
Penduduk Kuala Sanglang, Kedah, Faizal Omar, 35, berkata, dia datang ke laluan tersebut untuk menghantar bekalan makanan termasuk ikan dan sayur kepada ibunya yang tinggal di Kampung Kuala Sanglang, Perlis.
“Saya mahu hantar barang basah kepada mak, apabila sampai sini tengok jalan tutup pula. Jadi, saya minta mak datang ke sini dan saya hulurkan sahaja barangan keperluan.
“Lepas ini kalau ada barang keperluan, emak akan telefon dan saya hantar ke sini kerana tidak boleh masuk ke sana,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, ibunya, Kholijah Bakar, 58, berkata, dia akur dengan pelaksanaan Temco tersebut kerana percaya langkah berkenaan penting bagi menghalang wabak pandemik daripada terus merebak.
“Apabila dah kena kuarantin, kita memang tak boleh keluar. Sebelum ini anak memang selalu hantar barang. Sekarang kami hanya boleh berjumpa di sini untuk hantar dan ambil barang diperlukan,” katanya. – UTUSAN










