Dr. Santhara sertai Bersatu - Utusan Malaysia

Dr. Santhara sertai Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar memutuskan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyerahkan borang permohonan keahlian secara rasmi, semalam.

Beliau berkata, borang itu diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di bangunan Parlimen pada pukul 5.50 petang.

Keputusan itu sekali gus menjadikan beliau ahli Parlimen bukan bumiputera tunggal yang menyertai Bersatu.

“Saya telah menyerahkan borang keahlian seumur hidup kepada Setiausaha Agung Bersatu, semalam.

“Saya tidak keluar parti tetapi dipecat pada 3 April 2020 kerana prinsip saya mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri (tidak memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri untuk menggantikan Dr. Mahathir) sewaktu tandatangan akuan bersumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Seterusnya, saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri selepas sebulat suara bersetuju menyokong beliau dalam satu perjumpaan khas dengan Dr. Mahathir dan sekumpulan wakil rakyat Bersatu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di bangunan Parlimen semalam.

Santhara berkata, beliau telah bertemu dengan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk memaklumkan hasratnya itu.

Dalam pada itu, beliau menganggap konsep Parti Negara yang dibawa oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar adalah baik untuk politik Malaysia pada hari ini.

“Mungkin konsep satu parti ketika itu belum sesuai sebab berpandukan parti-parti etnik seperti UMNO, MCA dan MIC.

“Namun selepas hampir 63 tahun kita merdeka, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya bersama-sama dalam sebuah parti yang mempertahankan Perlembagaan serta menegakkan Rukun Negara.

“Apatah lagi dengan cabaran-cabaran isu perkauman menuntut kerjasama jitu antara masyarakat Melayu dan bukan bumiputera,” kata beliau.

Utusan Malaysia turut menyaksikan Santhara yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan menandatangani borang keahlian tersebut.

Pada 24 Februari lalu, seramai 11 ahli Parlimen PKR didakwa mengisytiharkan keluar parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Selain Santhara, mereka yang berbuat demikian ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya