Bubu naga rosakkan ekosistem laut - Utusan Malaysia

Bubu naga rosakkan ekosistem laut

BUBU NAGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mudah didapati secara dalam talian dan dijual dengan harga murah dipercayai menjadi punca wujudnya semakin ramai ‘nelayan segera’ menggunakan bubu naga di negeri ini.

Selain itu, terdapat juga ‘tauke-tauke’ yang membeli hasil laut daripada ‘nelayan segera’ itu menyebabkan penggunaan bubu naga yang diharamkan di negara ini semakin meningkat.

‘Nelayan segera’ ini dikesan hanya melabuhkan bubu naga dan membiarkan di laut sebelum mengaut hasil pada waktu-waktu tertentu menyebabkan mereka sukar dikesan.

Tinjauan di beberapa laman membeli belah secara dalam talian mendapati bubu naga boleh didapati dengan harga serendah RM15 hingga RM150.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, ‘nelayan segera’ tersebut bukan bekerja sebagai nelayan yang berdaftar namun dipercayai mempunyai pekerjaan lain.

NORAISYAH ABU BAKAR

“Nelayan segera ini kita dapati mereka ada pekerjaan tetap yang lain, mereka merupakan ancaman kepada nelayan tradisi kerana mahu mengaut untung segera dengan menggunakan bubu naga.

“Bubu naga ini berbahaya kerana penggunaannya memberi kesan kepada sumber laut dan merosakkan benih-benih hidupan laut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Noraisyah, bubu biasa hanya mempunyai satu injap (pintu masuk), namun bubu naga mempunyai lebih daripada 10 injap yang me­merangkap hidupan laut.

“Boleh dikatakan semua hidupan laut, tidak mengira kecil atau besar akan terpe­rangkap di dalam bubu naga.

“Bubu naga juga akan mewujudkan konflik sosial dalam masyarakat nelayan kerana boleh menimbulkan pergaduhan apabila pukat tradisi mereka rosak terkena bubu naga,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Perikanan negeri merampas sebanyak 720 buah bubu naga bernilai RM72,000 sejak Januari lalu sehingga Jun tahun ini dan dijangka jumlah rampasan bubu tersebut akan meningkat.

“Kita akan meningkatkan penguatkuasaan dan meram­pas bubu-bubu naga yang dilabuhkan di laut serta melupuskannya mengikut undang-undang sedia ada.

“Mereka yang ditahan kerana kesalahan bubu naga akan didakwa mengikut Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya