Beli ‘online’ catat kes penipuan tertinggi - Utusan Malaysia

Beli ‘online’ catat kes penipuan tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang mencatatkan aduan penipuan tertinggi iaitu 2,500 kes membabitkan jumlah kerugian RM17 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata,  kes kedua tertinggi direkodkan dalam tempoh 18 Mac hingga 4 Ogos lalu itu pula adalah penipuan bagi pinjaman tidak wujud dengan 1,582 kes (RM18 juta) manakala Macau Scam menyaksikan kerugian RM50 juta dengan 1,001 kes.

“Sementara itu ‘Love Scam’ dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS) pula masing-masing merekodkan 481 kes (kerugian RM18 juta) dan 91 kes atau kerugian RM800,000,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) mengenai jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP lalu.

Mengulas lanjut, Ismail turut berkata, jumlah tersebut meningkat disebabkan PDRM berdepan beberapa masalah termasuk untuk mengenal pasti identiti pemanggil, penjenayah terbabit menggunakan akaun pihak ketiga dan beroperasi di luar negara.

“Dalam kes melibatkan luar negara, kita terpaksa meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti penjenayah.

“Selaras dengan itu juga, PDRM mewujudkan pasukan khas yang turut dianggotai Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia (CSM) dan industri telekomunikasi,” katanya lagi. 

Bagaimanapun, PDRM telah mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police bagi berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan jenayah dalam talian.

Selain itu jelasnya lagi, PDRM turut membangunkan sebuah portal bagi memudahkan masyarakat untuk membuat semakan nombor telefon sindiket atau akaun bank yang digunakan oleh sindiket dalam urusan pindahan wang mangsa ke akaun sindiket.

“Portal tersebut boleh dicapai melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan kini ia juga boleh dimuat naik dengan menggunakan telefon mudah alih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya