fbpx

24 September 2020, 5:23 pm

  TERKINI

Bahang api selamatkan dua beranak

KEADAAN rumah dan kereta yang hangus dalam kebakaran di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di Jerantut, Pahang, pagi ini. - UTUSAN/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua beranak nyaris maut selepas rumah mereka di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang tidur di bilik masing-masing.

Mangsa, Zahari Ariffin, 60, berkata, semasa kejadian dia tidur di bilik hadapan manakala anak lelakinya tidur di bilik belakang.

“Saya tidak sedar kebakaran dan hanya tersedar selepas berasa bahang panas dan segera mengejutkan anak di biliknya,” katanya di sini hari ini.

Zahari berkata, sebaik menyedari api sudah marak di bahagian hadapan rumah dia terus mendapatkan kunci pintu belakang dan keluar dengan anaknya.

Katanya, dia dan anaknya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga.

Sementara itu, Ketua Jabatan  Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jerantut,  Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan musnah 80 peratus.

Selain itu katanya, sebuah kereta Proton Waja dan motosikal jenis Demak turut musnah dalam kejadian tersebut. 

“Bomba menerima panggilan pukul 4.29 pagi dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian, berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran pada pukul 7.30 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE