Akibat terlalu takut, pesara rugi RM1.84 juta - Utusan Malaysia

Akibat terlalu takut, pesara rugi RM1.84 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Seorang warga emas berusia 76 tahun kerugian sebanyak RM1.84 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon atau Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, pesara wanita sebuah badan berkanun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa kononnya kakitangan Pos Laju pada 5 Jun lalu.

Katanya, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Adam Wong tersebut mendakwa terdapat bungkusan didaftarkan atas nama mangsa yang cuba dihantar ke Kota Kinabalu, Sabah telah ditahan kerana mengandungi barang salah iaitu sekeping MyKad dan lapan keping kad mesin juruwang automatik (ATM).

Tambah beliau, mangsa bagaimanapun menafikan pernah menghantar bungkusan itu sebelum dinasihatkan suspek untuk membuat laporan polis.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima panggilan telefon dan bercakap dengan tiga individu yang mendakwa pegawai polis.

“Mangsa juga dimaklumkan kononnya terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta dan terdapat akaun bank dibuka atas namanya di Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, akibat terlalu takut dengan dakwaan itu, mangsa mengikuti arahan suspek termasuk perlu melaporkan kedudukannya setiap dua jam selain tidak menceritakan perkara tersebut kepada pihak lain.

Katanya, wanita itu juga diarahkan memindahkan semua wang di dalam akaun banknya ke dalam satu akaun yang diberikan suspek kononnya kerana polis dan Bank Negara Malaysia akan menyiasat akaun bank milik mangsa sebelum dibekukan.

“Mangsa kemudian mengeluarkan semua wang simpanannya termasuk daripada Lembaga Tabung Haji, wang pusaka, Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta wang saham dan melakukan pemindahan pertama menerusi cek ke akaun suspek yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat Enteprise berjumlah RM790,000 pada 23 Jun lalu.

“Seminggu kemudian, mangsa sekali lagi memasukkan dua cek kepada pemilik akaun iaitu sebuah syarikat pembinaan masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM350,000,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Anbalagan, mangsa kemudian dimaklumkan oleh suspek perlu membayar wang bon jaminan RM1 juta sekiranya tidak mahu ditangkap dan direman.

Ekoran itu, katanya, mangsa pada 13 Julai memindahkan wang menerusi cek berjumlah RM200,000 kepada pemilik akaun atas nama sebuah syarikat Enterprise dan RM200,000 lagi pada 22 Julai ke dalam akaun sama.

“Wang tersebut termasuk hasil jualan barang kemas milik mangsa kira-kira RM20,000 dan yang dipinjam daripada adik-beradiknya,” katanya.

Menurut Anbalagan, suspek bagaimanapun terus memaksa mangsa memindahkan sebanyak RM500,000 lagi bagi mencukupkan jumlah RM1 juta wang bon jaminan menyebabkan mangsa menjadi buntu kerana kehabisan wang.

Katanya, warga emas itu kemudian meminta pertolongan anaknya yang berada di Kuala Lumpur yang berasa hairan selepas ibunya itu yang diketahui mempunyai wang terpaksa meminjam dengannya.

“Anak mangsa meminta ibunya membuat laporan polis dan dilakukan mangsa kelmarin di Balai Polis Bayan Baru di sini kerana disyaki ditipu dan mengalami kerugian RM1.84 juta yang dipindahkan menerusi lima keping cek,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam masa sama, beliau turut menasihati orang ramai berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon yang mendakwa daripada mana-mana pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya