KANGAR: Ada segelintir penduduk dari Kampung Tanah Timbul, Kuala Sanglang di sini yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran Bersasar (Temco) didakwa keluar dari kawasan berisiko itu.
Seorang penduduk kampung itu, Md. Zuki Hamid, 45, mendakwa, ada penduduk keluar ke kawasan lain bagi mengelakkan mereka terus terkurung sejak malam Sabtu lalu.
“Semalam difahamkan individu terbabit tidak ada di rumah ketika proses saringan dijalankan.
“Mereka dipercayai telah ke kawasan lain atau kawasan berdekatan. Saya harap mereka yang lari keluar itu kembali ke kampung ini untuk proses saringan kerana tindakan mereka boleh mengundang risiko kepada orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kerajaan negeri mengumumkan Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul selama 28 hari sehingga 4 September ini.
Berikutan itu, seramai 872 penduduk di kedua-dua kampung itu telah diminta membuat ujian saringan Covid-19.
Sementara itu, Md. Zuki berkata, kebebasan penduduk dari Kampung Tanah Timbul di sini bagai diragut selepas terpaksa berkurung di rumah.
Katanya, dia dan keluarga kini terpaksa tinggal di rumah sahaja selepas selesai menjalani proses saringan kelmarin.
“Sepanjang hidup saya, tidak pernah merasai suasana seperti ini seolah-olah terkurung di dalam penjara.
“Bagaimanapun, kami perlu mengikut arahan kerajaan bagi mengelak penularan wabak ini. Kampung kami kecil sahaja, kalau menular, habis semuanya,” kata buruh binaan itu.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim ketika dihubungi memaklumkan beliau masih belum menerima maklumat mengenai perkara tersebut.
“Kita tidak ada maklumat lagi kerana proses saringan masih berjalan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap penduduk yang terlibat dapat mematuhi arahan demi kebaikan bersama. – UTUSAN










