Tarik lesen peniaga jika naik harga pelitup muka  - Utusan Malaysia

Tarik lesen peniaga jika naik harga pelitup muka 

JACOB GEORGE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peniaga atau pemborong yang cuba menaikkan harga pelitup muka melebihi harga ditetapkan wajar dikenakan tindakan termasuki menarik lesen perniagaan mereka. 

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, tindakan itu perlu selain menyenarai hitam operasi perniagaan dan menangkap individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut. 

“Kita kena ambil tindakan dan tunjukkan kepada mereka bahawa kita serius tentang isu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Jacob berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan harga jualan pelitup muka yang mungkin dinaikkan sesuka hati serta meletakkan caj-caj tersembunyi bagi barangan tersebut. 

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) bercadang menurunkan harga pelitup muka bagi peruncit kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 manakala RM1.15 daripada RM1.45 untuk pemborong. 

Pada 20 Julai lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan penularan wabak Covid-19. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika masih terdapat peniaga atau pemborong yang cuba menaikkan harga pelitup separuh muka tanpa alasan munasabah, hak pengguna tetap dilindungi menerusi beberapa akta seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

Dalam akta itu, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah dikenakan tindakan denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

“Ini adalah taktik biasa yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas alasan bekalan tidak mencukupi padahal bekalan ada saja tetapi mereka sorok. 

“Jadi sekarang ini undang-undang yang ada hanya perlu diperkasakan agar harga pelitup muka yang tersebut adalah munasabah kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya