Proses perbicaraan Najib adil, lancar – KPN - Utusan Malaysia

Proses perbicaraan Najib adil, lancar – KPN

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melalui proses pembicaraan yang adil sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman ke atasnya semalam, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara itu berkata, proses perbicaraan juga berjalan lancar walaupun berlaku banyak penangguhan kes.

“Kami memantau sekiranya berlaku kekacauan atau sebagainya. Najib juga ada hak untuk membela dirinya lagi selepas ini,” kata beliau semasa ditemui Utusan Malaysia semalam.

Kata Abdul Hamid, daripada perkiraan polis, seramai 900 penyokong Najib hadir ke mahkamah memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dalam masa sama, UMNO menghormati keputusan mah­kamah yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas presidennya itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti akan berusaha membantu Najib yang disabitkan atas tujuh pertuduhan tersebut.

“Saya bagi pihak UMNO akur dengan keputusan yang dibuat mahkamah, namun sebagai sahabat saya berasa simpati dan amat sedih dengan keputusan diterima.

“Maka tentunya ada sesuatu yang akan dilakukan UMNO dan tunggulah keputusan-keputusan yang akan kami bincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng menyifatkan keputusan itu satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia.

“Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada PH dan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” kata kenyataan itu.

Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pula melahirkan rasa sedih dengan nasib dilalui Najib, kawan lamanya semasa pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Bagaimanapun kata beliau, semua orang harus berpegang kepada prinsip ‘undang-undang negara adalah segala pucuk dalam mengekang perbuatan yang salah dalam kehidupan’.

Jelas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu lagi, beliau menghormati kesabaran Najib dan keluarga sepanjang berdepan kes mahkamah tersebut.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Padan, Rafizi Ramli menerusi akaun Twitter berkata, keputusan mahkamah itu menyaksikan perjuangannya selama ini ‘berbaloi’.

“Saya jarang ulas mengenai politik sekarang tapi sebahagian besar masa saya sebagai Ahli Parlimen dihabiskan berdepan dengan skandal 1MDB dan SRC,” katanya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pula berkata, ketelusan dan kebebasan badan kehakiman menjadi tanda aras keadilan kepada setiap individu tanpa mengira kedudukan, status mahupun kuasa.

“Dunia telah menyaksikan sistem perundangan dan kehakiman Malaysia sedang berada pada tahap terbaik apabila pemimpin kerajaan turut disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya