fbpx

30 November 2020, 3:35 am

  TERKINI

Penduduk Kampung Jawa hidup daif

KEADAAN daif Kampung Jawa di Melaka yang didiami kira-kira 23 keluarga. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Terpaksa berhimpit di dalam rumah bersaiz bilik dan tidur pula berbumbungkan atap yang bocor. Itu nasib malang kira-kira 23 keluarga di Kampung Jawa, di sini bagaikan pelarian di tempat sendiri. 

Siapa menyangka, di sebalik rimbunan pokok-pokok besar bersebelahan Sungai Melaka yang menjadi laluan utama Melaka River Cruise, terdapat perkampungan daif dan kotor didiami kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak.

Difahamkan, rumah-rumah kayu dibina di atas tanah milik persendirian, dibangunkan sejak perkampungan itu wujud hampir 50 tahun lalu.

Penghuni juga perlu membayar sewa antara RM70 hingga RM200 yang dikutip seorang individu setiap hujung bulan, didakwa ada kaitan dengan pemilik tanah.

Kedudukan kampung tersebut betul-betul berada di pinggir Sungai Melaka dan jaraknya jika berjalan kaki hanya 900 meter ke Jonker Walk atau Bangunan Stadthuys.

Seorang penduduk, Shamsudin Hamzah, 40, berkata, penduduk di kampung itu berdepan masalah bekalan air terputus sejak beberapa bulan lalu dan terpaksa mendapatkan air daripada kawasan berdekatan, selain mandi di stesen minyak berhampiran.

Shamsudin yang mempunyai tiga anak tinggal di situ sejak tujuh tahun lalu, turut bimbang melihat keadaan rumahnya yang boleh roboh bila-bila masa sahaja.

“Saya bayar sewa RM100 sebulan dan ada maklumkan kepada individu yang datang mengutip bayaran keadaan rumah semakin teruk, tetapi dia hanya menjawab nanti kami baiki, sehingga lah ke hari ini.

“Saya risaukan keselamatan kira-kira 10 orang kanak-kanak di kawasan ini dan berdoa tidak berlaku kejadian tidak diingini. Saya juga bimbang kerana berkongsi bekalan elektrik yang disambung dari rumah ke rumah,” katanya.

Shamsudin berkata, pendapatannya sebagai pengayuh beca tidak menentu menyebabkan dia terpaksa bertahan tinggal di situ.

 Norraini Osman, 57, pula berkata, dia tinggal di kampung itu sejak berusia 20-an bersama arwah suaminya.

“Saya kurang pasti status tanah di sini, tetapi apa yang saya tahu awal-awal dahulu pemiliknya orang lain dan keadaan rumah juga pada waktu itu masih sempurna dan selesa didiami.

“Tetapi sejak berbelas tahun lalu, tidur malam tidak pernah nyenyak kerana bimbang keadaan rumah terutama pada musim hujan. Walaupun beberapa kali baiki, lama-kelamaan rosak semula,” katanya.

Warga emas, Rosnah Abd. Rahman, 67, berkata, penduduk terpaksa mengangkut air daripada kawasan berdekatan pada waktu malam selepas hampir tiga bulan bekalan terputus.

“Di sini hanya ada sebuah bilik air yang dikongsi beramai-ramai, nak basuh baju memang susah apatah lagi hendak memasak,” katanya yang tinggal bersama dua anak, menantu dan cucu.

Dalam pada itu, seorang lelaki dikenali sebagai Goh, 60-an berkata,  bekalan air terpaksa dipotong sejak Mac lalu kerana segelintir penyewa tidak menjelaskan sewa bulanan. 

Goh berkata,  dia memiliki kira-kira 15 bilik disewakan antara RM80 hingga RM100 dan majoriti penyewa tiada pekerjaan tetap. 

“Apabila mereka tidak membayar sewa, saya tidak cukup wang untuk bayar bil. Selain itu, saya juga perlu membayar sewa bulanan kepada tuan tanah.

“Keadaan rumah memang sudah teruk dan perlu dibaiki tetapi bagaimana hendak melakukannya jika tidak cukup wang, saya pun kasihan melihat keadaan mereka di situ terutamanya kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali berkata, laporan yang diterima pihaknya mendapati kesemua penyewa menyewa di atas tanah milik persendirian.

Beliau berkata, walaupun tanah tersebut bukan milik kerajaan, pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah tampil menghulurkan bantuan sebelum ini termasuk kepada penghuni mualaf.

Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi terkini di perkampungan tersebut untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE