Penagih tikam bapa, warga emas - Utusan Malaysia

Penagih tikam bapa, warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah menikam bapanya selepas berlaku perselisihan faham dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Mergong di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa berusia 73 tahun cedera di leher, dada dan bahu kanan.

Suspek berusia lingkungan 20-an kemudian menikam seorang warga emas dalam kejadian berasingan di Jalan Putra di sini sehingga mengakibatkan mangsa cedera pada kedua-dua belah bahu.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, mangsa pertama iaitu bapa suspek ditemui pengsan disyaki akibat ditikam di tepi jalan di Kawasan Perindustrian Mergong.

“Polis kemudian menerima satu lagi maklumat terdapat seorang lagi lelaki berusia 67 tahun ditikam di Jalan Putra,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, suspek dipercayai bertindak menikam bapanya disebabkan perselisihan faham antara keluarga manakala kejadian kedua pula berlaku dalam keadaan suspek mabuk.

“Suspek yang melarikan diri berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar dalam tempoh tiga jam selepas kejadian,” ujarnya.

Tambahnya, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan pisau yang digunakan dalam kejadian berkenaan dirampas.

“Suspek direman sehingga 22 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya