Pemandu didakwa cabul penumpang - Utusan Malaysia

Pemandu didakwa cabul penumpang

MOHD. Fadzil Mahat dituduh mencabul seorang penumpang wanita di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu ehailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencabul seorang penumpang wanita, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd. Fadzil Mahat, 44, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan tujuan hendak mencabul kehormatan mangsa berusia 28 tahun.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7 malam di dalam kereta di Jalan Tun Abdul Razak, di sini pada 1 Julai lalu.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menjaga tiga anak masih bersekolah serta menanggung ibu bapa yang sudah uzur.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang prosiding mahkamah berjalan.

Mahkamah menetapkan 15 September ini untuk tertuduh melantik peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya