Patuhi SOP elak kluster ibadah - Utusan Malaysia

Patuhi SOP elak kluster ibadah

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan ibadah bagi mengelak kewujudan kluster baharu pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kealpaan umat Islam termasuk semasa meraikan Hari Raya Aidiladha dikhuatiri boleh menyebabkan penularan pandemik itu sama ada ketika menunaikan solat atau melaksanakan ibadah korban. 

Bagaimanapun, beliau yakin orang ramai terus berwaspada dan mengamalkan penjarakan sosial ketika beribadah lebih-lebih lagi dengan penemuan tahap kepatuhan jemaah ke masjid yang positif iaitu sebanyak 99.5 peratus. 

“Kita ada SOP yang bagi saya cukup baik kerana sudah lebih dua bulan solat Jumaat dibenarkan di masjid dan keadaan nampaknya masih teratur serta terkawal. 

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya tidak ada sebarang kluster ibadah sama ada solat, haji, korban atau kluster-kluster lain,” katanya selepas melancarkan Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli : Cuci-cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir di sini hari ini. 

Yang hadir sama Pengerusi Yadim, Nasruddin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Haru.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 100 penerima dalam kalangan golongan B40 dan asnaf yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

 Zulkifli berkata, kerajaan sentiasa melihat dari semasa ke semasa SOP ibadah yang ditetapkan bagi disesuaikan dengan situasi terkini pandemik Covid-19 dalam negara. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya