KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 bakal diserikan dengan penganjuran Cabaran Joran KL 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijadual berlangsung Ahad ini, 1 Februari, bertempat di Taman Tasik Permaisuri, dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, acara pembuka tirai itu merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam merakyatkan aktiviti rekreasi dan memperkukuh semangat komuniti warga kota.
“Cabaran ini bukan sekadar sukan, malah menjadi platform penyatuan komuniti pelbagai lapisan. DBKL komited menyediakan penganjuran berkualiti serta inklusif buat semua,” katanya.
Sebagai persediaan, hampir 200 kilogram ikan baung telah dilepaskan ke dalam tasik bagi memastikan pertandingan lebih mencabar.
Penyertaan terbuka, dengan yuran sebanyak RM60 untuk dua mata joran. Pendaftaran walk-in dibuka pada 31 Januari (Sabtu) dari pukul 3 petang hingga 7 malam serta pagi pertandingan dari pukul 6 hingga 10 pagi.
Menariknya, hadiah wang tunai bernilai RM20,000 ditawarkan, termasuk RM5,000 untuk juara, diikuti RM2,000 dan RM1,000 masing-masing untuk tempat kedua dan ketiga. Peserta tempat ke-4 hingga ke-111 turut membawa pulang hadiah wang tunai, selain dua unit TV 32 inci dan pelbagai hadiah cabutan bertuah. Sebanyak 500 T-shirt eksklusif juga akan diberikan kepada peserta terawal.
Edisi 2025 lalu dengan kejutan selepas seekor ikan patin seberat 15.815 kilogram dinobatkan juara. Siri Cabaran Joran seterusnya akan diteruskan pada 3 Mei di Taman Tasik Ampang Hilir, 31 Ogos di Taman Tasik Metropolitan Kepong, dan kemuncaknya pada 11 Oktober di Taman Tasik Danau Kota sempena Hari Sukan Negara.
Sementara itu, Karnival KL MADANI sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026 turut dijadualkan berlangsung dari 30 Januari hingga 1 Februari di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Jualan Rahmah, Pameran Agensi, Karnival Kerjaya, Sukan Rakyat, Forum KL MADANI, Festival Gastroseni, Kenduri Rakyat dan Konsert KL MADANI.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga untuk menyemarakkan sambutan kali ini, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang turut mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi rekreasi berkonsep komuniti dan kehijauan bandar. – UTUSAN










