SHAH ALAM: Pengurusan Kanan, Gading Kencana Sdn. Bhd. (GKSB), syarikat bumiputera terkemuka dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini terutama solar, baru-baru ini telah melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz.
Dalam kunjungan itu, GKSB telah diketuai oleh Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng.
Menurut Guntor, ia bertujuan untuk suai kenal dan ramah mesra kerana PETRA adalah kementerian yang bertanggungjawab secara langsung dengan industri TBB.
Melalui kunjungan itu katanya, beliau yang mewakili pihak industri dapat memahami secara dekat aspirasi dan komitmen kerajaan berhubung dengan industri tenaga negara di samping lebih memahami mengenai dasar-dasar dan polisi berkaitan dengan TBB.
Pada masa yang sama katanya, kesempatan pada kunjungan itu juga digunakan oleh GKSB untuk membangkitkan isu-isu yang dihadapi oleh pihak industri dalam merealisasikan pembangunan projek tenaga hijau di negara ini.
Guntor memberitahu, antara isu yang dibincangkan ialah berkaitan Projek Ladang Solar Berskala Besar 6 (LSS6) termasuk kemudahan-kemudahan dan isu yang berkaitan dengannya.
Katanya, GKSB turut menbangkitkan cabaran syarikat bumiputera dalam industri itu terutama yang berkaitan dengan kadar upah, geran latihan yang tiris, ancaman daripada tenaga kerja asing dan beberapa isu lain yang berkaitan hala tuju penggunaan solar kediaman atau individu termasuk solar ATAP terutama yang berkaitan kuota, kadar caj dan pulangan pelaburan yang kurang menarik kepada syarikat penyedia perkhidmatan. – UTUSAN










