MARANG: Sebanyak 44 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu-Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, di sini awal pagi tadi diminta melakukan solat sunat taubat dan solat Subuh secara berjemaah sebelum dibebaskan.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Mohd Redzuan berkata, pihaknya mendapati kumpulan penunggang motosikal terbabit berkumpul dan mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising di kawasan berkenaan.
Katanya, polis turut menahan dua lelaki warga asing dipercayai warga Rohingya yang menunggang motosikal secara berasingan tanpa lesen.
“Seramai 19 remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun serta 25 individu berusia 18 hingga 41 tahun telah diperiksa manakala 38 buah motosikal disita mengikut akta sama,” katanya.
Pada masa sama kata Mohd Sofian, sebanyak 152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutamanya membabitkan kesalahan mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam.
Beliau memberitahu, operasi itu bermula pada pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan kekuatan 24 anggota bersama pegawai.










