Konvokesyen USIM Ke-23 bakal rai 3,631 graduan

Konvokesyen USIM Ke-23 bakal rai 3,631 graduan

usim
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan legasi keilmuan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan meraikan seramai 3,631 graduan pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-23.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan legasi keilmuan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan meraikan seramai 3,631 graduan pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-23 yang akan berlangsung mulai 25 hingga 28 November 2025 di Dewan Tuanku Canselor. Sementara itu, ‘Olek Godang’ (pesta konvokesyen) akan diadakan bermula 24 hingga 28 November 2025.

Majlis penuh istiadat ini akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, yang berkenan berangkat bagi mengisytiharkan pembukaan konvokesyen serta menyampaikan pelbagai anugerah kecemerlangan universiti termasuk Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, Pingat Emas Naib Canselor, Anugerah Al-Abrar, serta penganugerahan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, tema “25 Tahun USIM: Melakar Kejayaan, Mencipta Perubahan” diangkat bertepatan dengan sambutan Jubli Perak USIM yang menzahirkan perjalanan universiti selama suku abad dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan insan. Tema ini membawa makna besar terhadap evolusi USIM daripada sebuah institusi muda kepada sebuah universiti mapan yang berjaya mencorakkan perubahan dalam pendidikan tinggi negara.

Daripada 3,631 graduan pada tahun ini, seramai 2,923 graduan merupakan graduan Sarjana Muda, 103 graduan Doktor Falsafah (PhD), 101 graduan Sarjana, 212 graduan Diploma Lanjutan (DIJAP) dan 292 graduan Diploma Pascasiswazah (DPPI).

“Konvokesyen Ke-23 turut menyaksikan graduan sulung bagi tujuh program pengajian baharu, iaitu Doktor Falsafah Alam Bina, Sarjana Sains Alam Bina, Sarjana Sains Pergigian Gunaan, Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian), Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian) (Mod 3U1I), Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan dengan Kepujian serta Diploma Lepasan Ijazah – Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Seiring tema Jubli Perak, USIM terus menegaskan peranan sebagai universiti berteraskan disiplin ilmu Islam dan sains moden yang saling melengkapi. Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

USIM merakamkan penghargaan kepada seluruh ibu bapa, penjaga, staf akademik, pentadbiran, alumni serta semua pihak yang sentiasa mendukung misi universiti dalam melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada agama, negara dan ummah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN