WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan menuntut pampasan sekitar AS$230 juta (RM972.6 juta) daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) atas siasatan terhadap dirinya sebelum ini.
Trump, mendakwa DOJ ‘berhutang’ wang kepadanya susulan beberapa tindakan undang-undang yang menurutnya tidak wajar, sambil berjanji akan mendermakan sebarang pampasan yang diterimanya kepada badan amal.
Akhbar The New York Times melaporkan pasukan peguam presiden Republikan itu menuntut pampasan bagi siasatan persekutuan terhadapnya sebelum beliau dipilih semula sebagai Presiden untuk penggal kedua.
“Keputusan itu mesti melalui meja saya dan agak pelik untuk saya membuat keputusan di mana saya membayar diri saya sendiri,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval apabila ditanya mengenai laporan tersebut.
“DOJ mungkin berhutang banyak wang kepada saya dan jika saya menerima wang daripada negara kita, saya akan gunakan untuk sesuatu yang baik seperti mendermakannya kepada badan amal atau kepada Rumah Putih,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval apabila ditanya mengenai laporan tersebut.
Situasi di mana seorang Presiden menuntut pampasan daripada kerajaan yang diketuainya tidak pernah berlaku dalam sejarah AS dan menimbulkan persoalan besar dari segi etika.
Trump sebelum ini turut memfailkan beberapa tindakan undang-undang terhadap syarikat media dan organisasi lain yang didakwanya berat sebelah dan dalam beberapa kes beliau memenangi jumlah pampasan yang besar.
Beliau berkata, pasukan guaman dijangka memfailkan tuntutan pampasan itu namun menegaskan tidak mengetahui jumlah sebenar, malah tidak berbincang dengan mereka mengenainya.
Jurucakap pasukan guaman Trump tidak mengesahkan secara langsung laporan New York Times itu, tetapi memberitahu AFP beliau akan terus menentang semua siasatan bermotifkan politik oleh ahli Demokrat terhadap dirinya.
Menurut jurucakap itu, siasatan berkenaan turut melibatkan dakwaan wujudnya kerjasama sulit antara kempen pilihan raya Trump pada 2016 dan Russia.
DoJ enggan mengulas mengenai status tuntutan tersebut tetapi menolak dakwaan wujudnya konflik kepentingan dalam kalangan pegawai kanan.-AFP