Trump optimis capai perjanjian baharu dengan China

Trump optimis capai perjanjian baharu dengan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald optimis untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan baharu dengan Beijing dan mahu mengadakan pertemuan susulan dengan rakan sejawatnya, Xi Jinping di China serta Washington.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, pegawai ekonomi tertinggi China dan AS berjaya mencapai satu rangka kerja perjanjian perdagangan yang positif menjelang pertemuan Xi-Trump minggu ini.

Bessent berkata, persetujuan yang dimeterai pegawai kedua-dua negara ketika pertemuan sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur kelmarin akan menghapuskan ancaman pelaksanaan tarif 100 peratus ke atas import dari China yang sepatutnya berkuat kuasa 1 November dan merangkumi perjanjian akhir berhubung penjualan TikTok di AS.

Bessent turut memaklumkan China bersetuju menangguhkan kawalan eksport terhadap mineral yang digunakan dalam pembuatan jet pejuang, telefon pintar dan kenderaan elektrik selama setahun sebagai sebahagian daripada usaha ‘gencatan senjata perdagangan’ antara kedua-dua negara.

Ketua perunding perdagangan China, Li Chenggang berkata, kedua-dua pihak sudah pun mencapai kata sepakat awal dan kini akan melalui proses kelulusan dalaman masing-masing.

“Pendekatan AS agak tegas. Kami melalui rundingan yang sangat intensif dan mengadakan pertukaran pandangan secara konstruktif dalam mencari penyelesaian dan aturan untuk menangani kebimbangan ini,” kata Li. 

Trump tiba di Malaysia pada Ahad, destinasi pertama dalam rangka lawatan lima hari ke Asia yang akan diakhiri dengan pertemuan empat mata bersama Jinping di Korea Selatan pada Khamis.

Terdahulu, Duta AS ke NATO, Matthew Whitaker berkata, pertemuan Trump dan Jinping amat penting dalam usaha mendapatkan kerjasama China bagi melaksanakan sekatan terhadap Russia.

“China membeli terlalu banyak minyak dan gas Russia. China perlu bersama AS dan sekutu lain dalam menyuarakan pendirian yang peperangan di Ukraine yang tidak masuk akal ini mesti dihentikan.

“Jika China menyertai kempen tekanan AS terhadap Russia, ia akan menjadi langkah besar ke arah menamatkan pembunuhan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu temu bual bersama Fox News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN