GAZA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menunjukkan pendirian yang bercanggah dalam isu gencatan senjata di Gaza apabila memberi ‘restu’ kepada Israel untuk menyambung semula serangan terhadap wilayah bergolak itu.
Kenyataan Trump dibuat sehari selepas Israel melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas Gaza pada Selasa, atas alasan kononnya Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata yang dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak, dalam serangan yang disifatkan penduduk antara paling dahsyat sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 10 Oktober.
Walaupun mendakwa gencatan senjata masih kekal, Trump dalam masa sama mempertahankan tindakan Israel dengan alasan ia berhak membalas jika tenteranya diserang.
“Mereka membunuh seorang tentera Israel. Jadi Israel membalas. Dan mereka sepatutnya membalas,” katanya kepada wartawan di atas pesawat Air Force One semasa lawatan ke Asia.
Naib Presiden AS, JD Vance pula mendakwa gencatan senjata masih bertahan walaupun terdapat ‘pertempuran kecil’.
“Kami tahun Hamas atau pihak lain di Gaza menyerang seorang askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF), tetapi saya merasakan keamanan yang diusahakan Presiden akan kekal,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan serangan ke atas Gaza selepas Menteri Pertahanan, Israel Katz menuduh Hamas menyerang tentera rejim di wilayah itu.
Walaupun Katz tidak menjelaskan lokasi serangan terhadap tenteranya, Hamas menegaskan kumpulan pejuang tidak terlibat dengan kejadian tembakan di Rafah dan mengulangi komitmen terhadap gencatan senjata di Gaza.
KETEGANGAN MENINGKAT
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, sekurang-kurangnya tiga serangan udara dilancarkan, sementara Hospital al-Shifa melaporkan satu serangan terkena kawasan belakang kemudahan perubatan berkenaan.
Hospital Al-Awda memaklumkan menerima beberapa mayat, termasuk empat kanak-kanak yang terbunuh dalam pengeboman di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Hamas mengumumkan menangguhkan pemulangan satu lagi mayat tebusan yang sepatutnya diserahkan pada Selasa selepas peningkatan serangan Israel menyukarkan usaha pencarian.
Pertikaian mengenai pemulangan baki mayat tebusan yang belum dijumpai kini mengancam untuk menggagalkan perjanjian gencatan senjata.
Hamas berdepan tekanan pada Isnin lalu selepas ia menyerahkan sisa mayat tebusan yang sudah ditemukan sebelum ini, sesuatu yang dianggap Israel sebagai pelanggaran perjanjian.
Hamas berkata, ia adalah mayat ke-16 daripada 28 tebusan meninggal dunia yang dipersetujui untuk dipulangkan di bawah perjanjian tersebut.
Namun, siasatan forensik Israel mendakwa sisa itu sebenarnya milik tebusan yang dikembalikan dua tahun lalu, menurut pejabat Netanyahu.
Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian menuduh Hamas mereka-reka penemuan tersebut.
“Saya boleh sahkan semalam Hamas menggali lubang, meletakkan sisa mayat di dalamnya, menutupnya dengan tanah dan menyerahkannya kepada Palang Merah,” katanya kepada wartawan.
‘KAMI MAHU BEREHAT’
Forum Keluarga Tebusan dan Individu Hilang pula menggesa kerajaan Israel bertindak tegas terhadap pelanggaran itu, sambil menuduh Hamas mengetahui lokasi baki tebusan yang masih belum dijumpai.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem menafikan tuduhan itu dan berkata, serangan Israel selama dua tahun menjadikan banyak lokasi tidak dapat dikenal pasti.
“Pergerakan ini komited untuk menyerahkan mayat tebusan Israel sebaik sahaja ia ditemui,” katanya kepada AFP.
Hamas sudah menyerahkan semua 20 tebusan yang masih hidup seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Walaupun gencatan senjata masih berjalan, jumlah korban terus meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan.
Di Gaza, seorang penduduk berusia 60 tahun, Abdul-Hayy al-Hajj Ahmed berkata, dia bimbang perang akan berulang akibat tekanan terhadap Hamas.
“Sekarang mereka menuduh Hamas melengah-lengahkan (penyerahan), dan itu dijadikan alasan untuk memulakan perang semula.
“Kami mahu berehat. Tetapi saya percaya perang akan kembali,” katanya.










