Taufan Melissa menghala ke Cuba selepas 'mengamuk' di Jamaica

Taufan Melissa menghala ke Cuba selepas ‘mengamuk’ di Jamaica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINGSTON: Taufan Melissa memusnahkan sebahagian besar kawasan di Jamaica selepas membadai negara pulau itu pada Selasa sebagai antara taufan paling kuat dalam sejarah, membawa angin kencang dan hujan lebat sebelum bergerak ke arah Cuba.

Perdana Menteri, Andrew Holness mengisytiharkan seluruh pulau sebagai kawasan bencana, manakala pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya terus berlindung berikutan risiko banjir dan tanah runtuh yang masih tinggi walaupun taufan itu sudah beralih.

Tahap sebenar kemusnahan yang ditinggalkan Taufan Melissa di Jamaica masih belum dapat dipastikan kerana penilaian menyeluruh dijangka mengambil masa beberapa hari.

Sebahagian besar kawasan masih terputus bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi mengalami gangguan teruk.

Ketika berada di kemuncaknya, Melissa membawa angin berkelajuan 300 kilometer sejam. Tiada butiran segera mengenai jumlah korban jiwa setakat ini.

Menteri Kerajaan Desmond McKenzie berkata, beberapa hospital rosak, termasuk di daerah barat daya Saint Elizabeth, kawasan pesisir pantai yang kini tenggelam sepenuhnya.

“Kerosakan di Saint Elizabeth yang menjadi kawasan pengeluar makanan utama negara sangat besar berdasarkan apa yang kami lihat. Seluruh Jamaica merasai kesan dibawa Melissa,” katanya.

Taufan ini merupakan yang terburuk pernah melanda Jamaica, dengan kelajuan angin maksimum melebihi taufan-taufan dahsyat dalam sejarah moden seperti Katrina pada 2005 yang memusnahkan bandar New Orleans di Amerika Syarikat (AS).

Taufan itu mengambil masa beberapa jam untuk menyeberangi negara kepulauan tersebut, menyebabkan kekuatannya berkurang daripada kategori 5 kepada kategori 3 menjelang petang Selasa.

Namun, Taufan Melissa yang masih berkuasa dijangka melanda Cuba dan seterusnya ke Bahamas.

Sebelum Melissa membadai Jamaica, tujuh kematian dilaporkan, tiga di Jamaica, tiga di Haiti dan satu di Republik Dominican akibat keadaan cuaca yang semakin buruk.

Lebih membimbangkan, pihak berkuasa kesihatan turut memberi amaran tentang kehadiran buaya yang mungkin berpindah ke kawasan perumahan akibat banjir besar.

“Paras air yang meningkat di sungai, longkang dan paya boleh menyebabkan buaya bergerak ke kawasan kediaman,” menurut kenyataan pihak Berkuasa Kesihatan Wilayah Tenggara (SERHA) di Instagram.

Seorang penduduk, Mathue Tapper, 31, dari Kingston berkata, mereka yang di ibu negara bernasib baik, namun bimbang akan keadaan warga yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Hati saya bersama penduduk di bahagian barat pulau ini,” katanya.

Taufan besar itu dijangka meninggalkan kemusnahan setanding dengan bencana besar lain seperti Katrina, Maria atau Harvey.

Melissa berlegar cukup lama di Jamaica sehingga membawa hujan yang amat lebat.

Palang Merah Jamaica, yang mengagihkan air minuman dan kit kebersihan sebelum gangguan infrastruktur berlaku, menyatakan bahawa sifat Taufan Melissa yang“bergerak perlahan menambah kebimbangan orang ramai.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang penghantaran udara kira-kira 2,000 kit bantuan ke Jamaica dari pusat simpanan bantuan di Barbados sebaik penerbangan dibenarkan semula.

“Bantuan turut akan disalurkan ke negara lain yang terjejas termasuk Cuba dan Haiti, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Pegawai Jamaica berkata kira-kira 25,000 pelancong berada di negara itu yang biasanya terkenal dengan perairannya yang jernih.

Sementara itu, pelari pecut Olimpik dan ikon Jamaica, Usain Bolt terus memuat naik pesanan di media sosial untuk tanah airnya dengan mesej ‘Doakan untuk Jamaica’.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN