TAIPEI: Taiwan mengesahkan kes pertama demam babi Afrika (ASF) di pulau itu dan melupuskan puluhan ekor haiwan berkenaan bagi mengekang penularan penyakit maut yang boleh menjejaskan industri penternakan negara.
Kementerian Pertanian memaklumkan pada Rabu, wabak itu dikesan di sebuah ladang di Taichung, tengah Taiwan, namun tiada jangkitan lain dilaporkan setakat ini.
Penyakit itu tidak menjangkiti manusia tetapi sangat mudah berjangkit dalam kalangan babi dan boleh menyebabkan kadar kematian tinggi.
“Setakat ini tiada sebarang kejanggalan dikesan di ladang lain,” kata Timbalan Menteri Pertanian, Tu Wen-jane, sambil menambah langkah kawalan dan pemantauan sedang diperketatkan di seluruh negara.
Kementerian berkata, sebanyak 195 ekor babi dilupuskan selepas sampel babi yang mati di sebuah ladang di daerah Wuqi didapati positif ASF.
Bagi mengekang penularan wabak itu, kerajaan menubuhkan zon kawalan sejauh tiga kilometer di sekitar kawasan terjejas, selain menggantung aktiviti pengangkutan dan penyembelihan babi di seluruh pulau selama lima hari.
Menurut data rasmi, Taiwan memiliki kira-kira lima juta ekor babi, dan industri daging babi negara itu menjana pendapatan sekitar NT$70 bilion (RM9.4 bilion) setahun.
Presiden Lai Ching-te menggesa orang ramai supaya ‘tidak panik’ dan menyeru kerajaan tempatan serta persatuan penternak agar ‘berwaspada sepenuhnya’.
“Jika terdapat kematian luar biasa atau jangkitan haiwan yang disyaki dalam kalangan babi, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa kuarantin haiwan tempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.- AFP










