PARLIMEN: Bantuan sosial wajar dilaksana secara automatik - Muhyiddin

PARLIMEN: Bantuan sosial wajar dilaksana secara automatik – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program bantuan sosial berdasarkan data pendapatan yang telah disahkan perlu dilaksana secara automatik tanpa permohonan semula setiap tahun.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, hal ini kerana proses permohonan bantuan sosial setiap tahun hanya melambatkan penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan dan berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi

“Pangkalan data penerima bantuan seharusnya diintegrasikan dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta eKasih,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, sistem ini sepatutnya dapat mengenal pasti isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M40) secara automatik, dengan penilaian kelayakan dijalankan secara dalaman setiap tahun.

“Kemas kini hanya perlu dibuat apabila berlaku perubahan besar. Langkah ini menjimatkan masa, mengelakkan keciciran, dan yang paling penting, melindungi kebajikan rakyat.

“Sebanyak RM15 bilion diperuntukkan kerajaan bagi bantuan tunai di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026, RM2 bilion lebih tinggi berbanding RM13 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.

“Sebanyak sembilan juta penerima STR akan menerima sehingga RM100 sebulan, manakala sejuta peserta di bawah program eKasih bagi golongan miskin dan miskin tegar akan menerima sehingga RM200 sebulan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin turut menyatakan bahawa hutang negara Malaysia kini melebihi RM1.4 trilion, dengan perkhidmatan hutang menyumbang sebanyak 14 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN